PAS, Umno sedia PRU15 tapi Bersatu belum, kata pemimpin parti


Mohd Farhan Darwis Zaim Ibrahim

Pemimpin Bersatu akui parti itu belum bersedia untuk menghadapi PRU15 kerana tiada kesepakatan seperti di antara PAS dan Umno berhubung agihan kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PEMIMPIN Bersatu mengakui parti itu belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana tiada kesepakatan seperti di antara PAS dan Umno berhubung agihan kerusi.

Pemimpin Bersatu Selangor Mohd Shaid Rashid berkata perebutan kerusi dijangka hangat memandangkan ketiga-tiga parti dalam PN mahu bertanding banyak kerusi di kawasan Melayu.

Oleh itu beliau tidak yakin Bersatu akan mendapat peluang bertanding di 50 kerusi seperti yang dituntut pemimpin parti itu, katanya.

“Kerusi tradisi Umno, PAS, dan Bersatu adalah kerusi Melayu. Mana mungkin nak dapat 50 kerusi Parlimen untuk bertanding.

“Cadang kita boleh cadang, tapi berapa (kerusi) boleh dapat?

“Bersatu tiada calon Cina dan India. Jadi sudah tentu akan bertanding di tempat Melayu. PAS juga tentu hendak bertanding di kawasan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan The Malaysian Insight mengenai hasrat pemimpin partinya untuk bertanding di 50 kerusi parlimen dalam PRU15.

Shaid berkata permintaan itu tentunya sukar untuk dilaksanakan oleh parti dalam PN kerana masing-masing berebut kawasan yang sama.

“Bila macam itu siapa yang hendak mengalah. Umno pun hendak tempat Melayu kerana tempat bukan Melayu Umno tak boleh menang.

“Maka akan jadi perebutan antara satu sama lain. Di Malaysia, di semenanjung ini khususnya, sebenarnya kerusi Melayu dalam 60 saja,” kata Shaid.

Shaid adalah tiga Adun Bersatu Selangor yang kekal setia menyokong Dr Mahathir Mohamad walaupun parti itu keluar dari PH sehingga menyebabkan gabungan tersebut hilang kuasa di Putrajaya.

Shaid turut membangkitkan, Bersatu hanya menang kerusi di pantai barat semenanjung, daripada 52 kerusi ditanding semasa PRU14 ketika bersama PH.

Hampir 92% kerusi tersebut merupakan kawasan ditandingi Umno dan beliau tidak yakin parti tersebut akan menyerahkan kerusi berkenaan untuk ditandingi Bersatu.

“Di Pahang, Kelantan, Terengganu, Bersatu tidak ada kerusi menang. Kita hanya menang di pantai parat. Jadi, macam mana penyandang kerusi di pantai timur nak serah kerusi kepada kita,” kata Shaid.

Agak sukar untuk Bersatu dapat 50 kerusi pada PRU15 memandangkan PAS dan Umno juga sudah pasti mahu bertanding di kerusi kawasan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

PAS dan Umno pula dilihat lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya bakal berlangsung bila-bila masa sahaja.

Pemimpin akar umbi kedua-dua parti yang dihubungi The Malaysian Insight berkata mereka bersedia menghadapi PRU sebagai jalan keluar dari keadaan politik tidak menentu waktu ini.

“PRU juga boleh menjadi tanda noktah pada kecelaruan pentadbiran yang wujud dari zaman PH hingga ke PN saat ini,” kata Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said.

“Saya yakin bukan setakat rakyat bersedia menghadapi PRU pada tahun ini malah majoriti rakyat berdoa makin cepat PRU15 makin baik untuk mereka.

“Rakyat resah dengan kemelut politik berpanjangan ini,” katanya.

Katanya, pemimpin Umno dan PAS yakin untuk menghadapi pilihan raya apabila melihat reaksi positif rakyat ke atas pentadbiran PN.

“Daripada segi momentun dan penerimaan rakyat juga, agak jelas menunjukan sokongan yang cukup menyakinkan pada kerajaan PN untuk berdepan dengan PRU.

Sependapat dengannya Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Hanif Haron yang turut melihat pilihan raya jalan keluar dari kemelut politik yang berlarutan sejak Febuari lalu.

“Ia keutamaan keselamatan dan kebaikan rakyat,” katanya yang mendakwa rakyat kini lebih gembira dan aman bawah pentadbiran dan pencapaian PN.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Taman Bandar Baru Muhammad Farhan Ahmad juga  berpendapat akar umbi bersedia menghadapi pilihan raya dengan sasaran sokongan lebih kuat.

“Di kala politik tidak stabil di Malaysia, ahli akar sudah menjangkakan PRU mungkin diadakan bila-bila masa, masanya untuk mendapatkan mandat yang lebih besar,” katanya. – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen