Daim dakwa Pakatan tumbang kerana kepentingan peribadi


The Malaysian Insight

Pakatan Harapan ditumbangkan bagi memenuhi kepentingan peribadi pemimpin politik tertentu, kata Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

KERAJAAN Pakatan Harapan ditumbangkan beberapa individu tertentu yang hanya mahukan kuasa politik demi kepentingan peribadi mereka, kata bekas penasihat kerajaan Daim Zainuddin.

Individu ini kemudiannya menggunakan kaum dan agama untuk melindungi tindakan mereka, kata bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Contoh retorik perkauman dan keagamaan yang digunakan adalah kerajaan PH meminggirkan orang Melayu dan anti Islam.

Persepsi perpecahan ini digerakkan oleh parti nasionalis Melayu, Umno, dan parti Islam konservatif, PAS, yang kini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), katanya lagi.

PN berjaya memegang tampuk kuasa selepas beberapa ahli Parlimen PH berpaling tadah dalam tindakan licik yang kini dikenali sebagai “Langkah Sheraton” pada 23 Februari lepas.

Hampir 40 ahli Parlimen daripada Bersatu dan PKR mengkhianati PH dan berpakat dengan Umno, PAS dan parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk PN.

Salah seorang pemimpin besar yang berpaling tadah ialah Muhyiddin Yassin yang merupakan menteri dalam negeri kerajaan PH, beliau kemudiannya mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kerajaan PN pada 1 Mac.

Azmin Ali yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi kerajaan PH pula dilantik sebagai menteri kanan dalam kerajaan PN.

Daim bagaimanapun yakin pengundi Malaysia terutama pengundi muda mampu menilai retorik perkauman dimainkan parti Umno dan PAS.

Ini adalah sebahagian pemerhatian Daim terhadap prestasi kerajaan PH sepanjang 22 bulan berkuasa yang dikongsinya pada temubual baru-baru ini.

Berikut adalah petikan temubual tersebut:

TMI: Konspirasi yang menyebabkan PH tumbang berasal daripada ketaksuban kaum dan agama. Sentimen ini nampaknya meraih sokongan dalam kalangan orang muda Malaysia. Perjuangan melawan korupsi nampaknya tidak jadi tumpuan.

Daim: Tumbangnya PH bukanlah disebabkan konspirasi yang asasnya ketaksuban kaum dan agama walaupun ia semboyan perang yang mudah. Punca utama pengambilalihan (pentadbiran) adalah disebabkan keperluan personaliti politik tertentu yang mahu berkuasa kerana sebab peribadi, tetapi inilah politik.

Kaum dan agama digunakan untuk mengabsahkan tindakan mereka hanya kerana ia naratif yang menyenangkan. Di seluruh dunia, kita menyaksikan mentaliti sama digunakan untuk merebut kuasa politik- menggerakkan majoriti untuk takut kepada kumpulan minoriti dan kemudiannya menyalahkan mereka (minoriti) untuk semua masalah yang timbul.

Tetapi, saya lebih percaya kepada orang muda kita. Saya tak percaya sentimen ini tersebar luas dalam kalangan orang muda kita. Mereka ada dunia di hujung jari dan mereka boleh nampak kesan perkauman seperti mana yang berlaku di AS sekarang.

Saya percaya orang muda Malaysia serta ramai lagi rakyat sangat munasabah dan mahu hidup aman damai dan sekarang mereka lebih bimbangkan kesan yang dibawa wabak Covid-19 yang memaksa mereka berdepan masa depan yang tidak menentu dan menakutkan.

Tetapi jelas sekali, kekurangan pelan, program dan inisiatif daripada kerajaan memburukkan lagi kebimbangan dan ketakutan ini.

Anda juga perlu faham yang kerajaan PH ditumbangkan daripada tampuk kuasa oleh serangan perkauman dan agama daripada pembangkang.

Kaum dan agama adalah alat emosional yang sangat berkuasa dan pembangkang disebabkan mereka cetek idea, dasar dan kritikan membina menggunakan kaum dan agama dalam cara paling berbahaya sekali.

Memandangkan kerapuhan gabungan PH malah kedudukan PM ketika itu, serangan berterusan ini hendak atau tidak pastinya meninggalkan kesan.

Bagaimanapun, saya tidak fikir anda boleh guna kaum dan agama untuk jangka masa panjang dalam dasar ekonomi dan sosial. Akan sampai masa rakyat mahu tahu apa rancangan kerajaan untuk beri kita makan, pastikan kita berumah, mendidik anak-anak kita dan menjaga masa depan mereka. – 16 Jun, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen