Terlalu awal ramal ekonomi pulih tahun depan, kata Daim


The Malaysian Insight

Ekonomi Malaysia dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih selepas wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

TERLALU awal untuk mengatakan yang ekonomi akan mula pulih tahun depan, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin kerana krisis kemelesetan ekonomi global disebabkan Covid-19 adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau mempersoalkan ramalan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang dilaporkan berkata Malaysia boleh menyaksikan fasa pemulihan ekonomi berlaku seawal 2021.

“Terlalu awal untuk mendakwa yang kita akan berjaya keluar daripada kesulitan tidak lama lagi. Penguncupan ekonomi akan melewatkan progres kita sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi,” kata Daim pada satu wawancara baru-baru ini.

“Kita kena ingat yang walaupun KDNK (keluaran dalam negara kasar) kembali pulih pada 1999 selepas (krisis kewangan) 1998, hanya pada 2002 ekonomi kembali ke paras setara sebelum krisis berlaku.”

Daim juga mengingatkan yang Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sendiri menolak dakwaan Kementerian Kewangan (MoF) yang 70% pekerja sudah kembali bekerja, kerana ia “tidak menggambarkan situasi memeritkan di lapangan sekarang”.

MoF sebelum ini mendakwa hampir 70% pekerja sudah kembali bekerja selepas Putrajaya melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 12 Mei lalu.

Kementerian juga meramalkan yang ekonomi Malaysia dan seluruh dunia akan menguncup tahun ini.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga meramalkan ekonomi dunia menguncup sebanyak 3% tahun ini disebabkan wabak Covid-19 yang sehingga kini sudah mengorbankan 432,000 nyawa di seluruh dunia dan menjangkiti 7.8 juta orang.

MTUC dan beberapa persatuan majikan turut menjangkakan sehingga dua juta orang mungkin kehilangan pekerjaan disebabkan kemelesetan ekonomi yang berlaku tahun ini.

Bekas menteri Daim Zainuddin berkata kesan dan skala krisis ekonomi Covid-19 tidak pernah berlaku sebelum ini dan proses pemulihan mengambil masa lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2020.

Daim adalah menteri kewangan ketika kemelesetan ekonomi 1984-1985 yang menyaksikan kadar pengangguran naik sehingga 9%.

Tetapi, beliau percaya yang krisis ekonomi sekarang lebih buruk berbanding krisis 1998, 2008 dan Kemelesetan Ekonomi Dunia 1930an.

“Krisis sekarang lebih buruk berbanding apa yang kita pernah alami, lebih buruk berbanding krisis kewangan global 12008, krisis kewangan Asia 1998 dan Kemelesetan Ekonomi Dunia 1930an.

“Ia juga diburukkan dengan ketegangan perdagangan AS-China. Ketika ini saya tak nampak penghujungnya. Itulah yang kita hadapi sekarang.”

Penilaian Daim sebelum ini turut dikongsi oleh Bank of England yang mendakwa krisis ekonomi Covid-19 adalah yang terburuk pernah berlaku sejak 300 tahun lepas, malah kuasa besar ekonomi dunia AS sendiri menyaksikan pembuangan pekerja besar-besaran.

“Data terkini menunjukkan yang 41 juta pekerja atau 1 daripada 4 pekerja Amerika sudah memohon faedah pengangguran sejak bermulanya perintah berkurung (disebabkan Covid-19).

“Ini tidak berlaku dalam sejarah Amerika, lebih buruk berbanding Kemelesetan Ekonomi Dunia 1930an. China, sebuah lagi kuasa besar ekonomi juga dijangka tidak begitu baik tahun ini, kemungkinan berlaku kemelesetan.

“Ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku pada krisis 2008, di mana China berkembang hampir 10% walaupun ada krisis.

“Minggu lepas kerajaan China memutuskan untuk menurunkan sasaran pertumbuhan tahun ini.” – 16 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen