Berhenti guna wifi untuk layan dadah, pelacur, kata Indonesia


Pengurangan tempoh penggunaan wifi itu juga dilaporkan dituju kepada aduan ibu bapa mengenai anak mereka yang berlegar waktu malam buta di sekitar pejabat wilayah untuk mendapat akses internet. – Gambar EPA, 2 Julai, 2017.

MUNGKIN pegawai bandar Indonesia fikir, dengan memberi wifi percuma di bangunan kerajaan, ia akan membantu rakyatnya.

Namun, pegawai-pegawai kerajaan di Solo, di mana Presiden Joko Widodo pernah memegang jawatan Datuk Bandar, telah membatalkan perkhidmatan percuma itu setelah mendapati ada penduduk yang menggunakan akses internet itu untuk berurus niaga dadah, menonton laman pornografi haram atau terlibat dengan pelacuran.

Akses wifi ditutup dari jam 6.00 petang sehingga 4.00 pagi dengan harapan akan mengelakkan pengguna dari terlibat dengan aktiviti tak senonoh itu.

Pengurangan tempoh penggunaan wifi itu juga dilaporkan dituju kepada aduan ibu bapa mengenai anak mereka yang berlegar waktu malam buta di sekitar pejabat wilayah untuk mendapat akses internet.

Pengurangan jam servis ini telah pun bermula beberapa bulan lalu, cuma baru diumumkan kepada orang awam minggu ini.

“Wifi percuma boleh disalah guna untuk pelacuran online,” kata pegawai di jabatan informasi dan komunikasi Solo, Taufan Redina.

“Itulah apa yang kami dapati setakat ini,” katanya kepada AFP, menambah bahawa “transaksi narkotik” dan pelbagai lagi urusan yang meragukan juga dikesan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana kerajaan tempatan dapat tahu apa mengenai aktiviti pengguna wifi itu.

Walaupun tiada penapisan internet untuk laman web lucah, pornografi adalah haram di Indonesia, negara yang mempunyai paling ramai penganut Islam.

Pelacuran juga salah disisi undang-undang selain undang-undang berat dikenakan berkaitan dadah, termasuklah penyeludupan dan hukuman mati. – AFP, 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen