2 Adun Sabah umum keluar parti 


Limus Jury (kanan) dan James Ratib meninggalkan Upko dan menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional.– Gambar The Malaysian Insight, 15 Jun, 2020.

DUA Adun Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko), parti blok kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah mengumumkan keluar parti dan menyokong Perikatan Nasional. 

Adun Kuala Penyu Limus Jury dan Adun Sugut James Ratib daripada Upko mengumumkan keputusan itu dan menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

“Tiada siapa yang memaksa atau mempengaruhi saya untuk keluar Upko, ia adalah keputusan saya sendiri,” kata Limus pada satu sidang media hari ini.

Menurutnya, demi kepentingan rakyat Sabah adalah lebih baik beliau menyokong kerajaan persekutuan.

Beliau meninggalkan Umno untuk bersama parti yang menyokong kerajaan persekutuan, yang sebelum ini diterajui Pakatan Harapan. 

“Tetapi kini selepas perubahan dalam kerajaan persekutuan dan Sabah menjadi negeri pemangkang, saya merasakan lebih baik kita menyokong kerajaan Perikatan Nasional,” katanya.

James berkata, beliau sedia menyokong bekas ketua menteri Musa Aman sekiranya beliau memegang jawatan itu sekali lagi. 

Menurutnya, beliau turut menjangkakan lebih ramai lagi Adun dari parti pemerintah negeri itu akan bertukar haluan dalam beberapa hari lagi. 

Bagaimanapun, tindakan mereka buat masa ini tidak menjejaskan kerajaan Sabah yang diterajui Mohd Shafie Apdal, yang mempunyai dua pertiga atau 45 daripada 65 kerusi DUN.

Pembebasan Musa Aman daripada kes mahkamahnya menimbulkan desas desus yang menyatakan terdapat cubaan untuk merampas kuasa kerana beliau cuba mendapatkan kembali jawatan ketua menteri.  

Musa yang pernah menjawat jawatan ketua menteri selepas piihan raya umum lalu meletakkan jawatan susulan siri pembelotan termasuk daripada Limus dan James untuk bergabung dengan Upko.

Tekanan terhadap Shafie terus berlarutan ketika timbul desas-desus yang mengatakan terdapat Adun Umno yang meninggalkan parti untuk bergabung dengan Bersatu akan kembali ke parti lama mereka. – 15 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen