PERBICARAAN kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy ditangguh ke esok kerana salah seorang peguam bela menjalani ujian Covid-19.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan selepas Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan beliau juga perlu menjalani ujian susulan mempunyai kontak rapat dengan peguam dari pasukannya, Rahmat Mazlan.
Shafee memberitahu mahkamah sebelum prosiding bermula bahawa beliau dan Rahmat terlibat dalam perbicaraan kes pembunuhan ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.
Ketua pasukan pembelaan itu berkata Rahmat juga bekerja dengannya dalam permohonan menggugurkan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB.
“Pagi tadi, kira-kira pukul 4 ke 5 pagi, dia beritahu tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini kerana demam panas dan batuk-batuk.
“Saya segera hantar pesanan teks kepadanya dan aturkan temu janji dengan doktor pagi ini untuk dia diperiksa,” kata Shafee.
Keputusan ujian Rahmat akan diperolehi pukul 10 pagi esok, tambahnya.
Zaini bagaimanapun menolak permohonan Shafee untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan permohonan menggugurkan Sri Ram. – 15 Jun, 2020.
Komen