TUKANG gunting dan pendandan rambut mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan untuk memastikan semua pekerja asing menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum mula beroperasi.
Dua persatuan berkenaan berkata, kira-kira 50% hingga 70% warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting di seluruh negara telah menjalani ujian berkenaan.
Setakat ini, mereka yang diuji minggu lalu disahkan negatif.
Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (Mindas), Dr V Magendran berkata, secara kolektif, ahlinya mengarahkan kira-kira 1,500 tukang gunting warga asing di seluruh negara menjalani ujian berkenaan.
“Ujian saringan bermula Jumaat lalu dan setakat ini 70% telah menjalani ujian, dan kesemua mereka disahkan negatif.
“Ini merupakan berita baik kepada persatuan. Kami mahu beri jaminan kepada pelanggan bahawa kami mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan.” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sabtu lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanggan boleh meminta bukti daripada tukang gunting dan pendandan rambut warga asing bahawa mereka bebas daripada koronavirus.
Beliau berkata, semua pekerja warga asing perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum meneruskan kerja dan akan dikenakan denda sekiranya gagal berbuat demikian.
“Pelanggan boleh meminta bukti sebekum memasuki premis atau mendapatkan khidmat gunting rambut. Tukang gunting boleh tunjukkan surat daripada klinik yang mereka jalani ujian,” kata Ismail Sabri.
Magendran juga berkata, di Selangor dan Kuala Lumpur, 500 tukang gunting dan pendandan rambut telah menjalani ujian.
“Kesemua keputusan ujian adalah negatif. Kami jangkakan ujian dapat diselesaikan pada hujung minggu.
“Mereka juga tidak dibenarkan bekerja sehingga keputusan diperoleh. Ini adalah diwajibkan ke atas mereka yang beroperasi dari Johor Bahru hingga ke Perlis.”
Pemilik kedai gunting rambut juga akan menanggung kos ujian saringan Covid-19 tetapi mereka juga boleh memohon subsidi daripada Perkeso, kata Magendran.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India (Mihass), Mohd Jaafar Salim Thamby berkata kira-kira 50% daripada pekerja asing mereka telah menjalani ujian saringan.
“Kita mempunyai lebih 300 pekerja asing dan mereka yang sudah menjalani ujian didapati negatif.
“Kini kami sedang menjalankan ujian saringan terhadap pekerja dari Selangor dan Kuala Lumpur.”
Pemilik kedai gunting di negeri lain juga boleh membuat temu janji dengan penyedia khidmat kesihatan untuk menjalani ujian saringan, tambahnya.
Mengenai bayaran, beliau berkata ia akan ditanggung oleh pemilik.
“Ada pemilik yang membantu pekerja mereka manakala yang lain ada tuntut daripada Perkeso. Ini adalah tanggungjawab pemilik premis,” kata Jaafar.
Kedai gunting, pendandan rambut dan juga salun kecantikan dibenarkan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun, menggantikan kawalan pergerakan lebih ketat yang berkuatkuasa sejak 18 Mac.
Kesemua penyedia perkhidmatan ini perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan termasuk penjarakan sosial, penggunaan penutup muut dan hidung, sarung tangan dan pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan dan pelitup muka untuk kanak-kanak.
Mereka juga digesa untuk menyediakan perkhidmatan berdasarkan temu janji.
Kerajaan turut menggalakkan perkhidmatan ke rumah, bagi mengurangkan risiko kesesakan di kedai gunting rambut dan salun. – 15 Jun, 2020.
Komen