Jangkitan baharu Covid-19 meningkat di China, dunia bimbang


Penawar Covid-19 masih belum dapat ditemui ketika dunia bimbang gelombang kedua wabak itu mungkin berlaku. – Gambar AFP, 14 Jun, 2020.

CHINA melaporkan jumlah tertinggi kes baharu Covid-19 sejak beberapa bulan lalu hari ini ketika Beijing masih berada dalam perintah berkurung.

Situasi terbaru itu, memberikan amaran gelombang kedua wabak ketika banyak negara Eropah kini sedang bersedia untuk membuka sempadan mereka untuk perjalanan ke antarabangsa.

Kenaikan jumlah kes jangkitan penularan tempatan menjadi kejutan dan menggegarkan China sekali lagi, sebuah negara di mana penyakit ini muncul akhir tahun laln.

Ia kemudian berjaya disekat daripada terus menular melalui sekatan pergerakan yang ketat dan kemudian turut dilaksanakan di seluruh dunia.

Kenaikan itu juga memberikan gambaran suram mengenai kesulitan yang akan dihadapi dunia dalam menundukkan Covid-19.

Dari 57 kes baharu yang dicatat pihak berkuasa China, 36 daripadanya adalah penularan tempatan sehingga pihak berkuasa bertindak menutup sebuah pasar borong yang dipercayai menjadi punca wabak tersebut.

“Penjual daging harus tutup kedai. Penyakit ini benar-benar menakutkan,” kata seorang peniaga buah dan sayur yang diberi nama Sun di pasar Beijing lain.

“Selagi anda pakai topeng muka, itu sudah baik ... Apa pun, aku harus beli makanan juga bukan?” kata seorang pembeli Song Weiming.

Sekurang-kurangnya 429,000 orang di seluruh dunia telah meninggal dunia akibat penyakit pernafasan berpunca daripada Covid-19, sepanjang separuh tahun ini selain menjadi punca kejatuhan ekonomi global.

Jumlah kes positif yang disahkan telah meningkat dua kali ganda menjadi 7.7 juta kes dalam masa sebulan dan kini menular di Amerika Latin mengancam sistem kesihatan dan mencetuskan kekacauan politik.

Masih belum wujud rawatan khusus untuk Covid-19, namun kumpulan farmasi AstraZeneca mengatakan pihaknya telah bersetuju untuk memberikan bekalan kepada negara-negara Eropah sebanyak 400 juta vaksin yang mungkin dapat mengelakkan jangkitan wabak tersebut.

Sumber-sumber kerajaan Jerman memberitahu AFP bahawa vaksin Covid-19 juga berkemungkinan dapat diperolehi pada akhir tahun ini. – AFP, 14 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen