Orang Azmin, Zuraida nafi senarai pemimpin 'Parti Keadilan Negara'


Zaim Ibrahim

DUA bekas pimpinan Pemuda PKR menafikan tersenarai sebagai barisan pemimpin pergerakan pemuda sebuah parti baharu dinamakan Parti Keadilan Negara.

Adun Seberang Jaya yang juga bekas pimpinan Pemuda PKR Afif Bahardin berkata, senarai yang menamakan beliau sebagai ketua Pemuda Negara itu tidak benar.

“Palsu,” kata beliau ringkas kepada The Malaysian Insight ketika ditanya sama ada senarai nama yang tular itu sahih.

Ditanya lanjut sama ada Parti Keadilan Negara itu wujud, beliau juga berkata ia tidak benar.

Pemuda Negara yang digerakkannya pula dipimpin secara bersasma dengan Setiausaha Politik Menteri Ekonomi Mohamad Azmin Ali, Hilman Idham.

Ia digerakkan selepas Azmin dipecat daripada parti bersama naib presiden parti waktu itu, Zuraida Kamarudin.

Beliau mengulas senarai menyebut namanya sebagai pemimpin Pemuda Negara yang dinyatakan sebagai sayap pemuda Parti Keadilan Negara.

Senarai jawatan itu turut dinafikan bekas ketua Pemuda PKR Kuala Lumpur, Na’im Brundage yang berkata beliau tidak memegang sebarang jawatan parti.

“Saya mohon semua pihak untuk ambil maklum bahawa senarai yang telah tersebar luas ini adalah palsu.

“Buat masa ini saya tidak memegang sebarang jawatan di dalam mana-mana parti politik dan saya juga tidak mempunyai sebarang perancangan menyertai mana-mana parti politik dalam masa terdekat,” kata beliau.

Naim kini aktif bersama pertubuhan, Penggerak Komuniti Negara Parlimen Kepong.

Penggerak Komuniti Negara dan Pemuda Negara dikaitkan dengan pasukan Azmin Ali apabila bekas-bekas PKR yang dipecat kini bersama NGO itu.

Senarai yang berlegar di media sosial hari ini antara lain menyebut nama Azmin sebagai ketua umum dan bekas naib presiden Umno Hishammudin Hussein sebagai presiden.

Senarai itu juga menamakan Zuraida sebagai timbalan presiden.

Mengulas perkara itu, setiausaha politiknya Nor Hizwan Ahmad berkata senarai parti yang mengaitkan nama beliau dan pimpinan lain dalam Penggerak Komuniti Negara tidak benar.

“Tak betul langsung,” jelasnya yang merupakan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara bagi Wilayah Persekutuan. – 14 Jun, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen