Perikatan boleh lebih baik daripada Pakatan, BN


PEMBENTUKAN Perikatan Nasional (PN) pada Februari 2020 menimbulkan banyak tanda tanya kerana identiti dan agenda mereka masih belum jelas.

Memang logik jika rakyat bertanya kerana tidak banyak butiran didedahkan kepada umum walaupun sebenarnya hubungan di peringkat atas adalah lancar. 

Jika dicorakkan dengan baik, saya yakin PN boleh menjadi peneraju utama politik negara untuk masa yang panjang. Bagi saya, ada dua sebab kenapa PN berpotensi menjadi lebih stabil daripada Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Pertama, PN mengembalikan kedudukan politik Melayu sebagai teraju sambil memastikan kebajikan semua bangsa terjamin. Semasa era PH dahulu, mereka mengetepikan sentimen orang Melayu sehingga wujud ketidakstabilan. 

Berkali-kali saya sebutkan kepada pemimpin tertinggi PH bahawa orang Melayu amat bimbang mengenai kedudukan mereka di bawah PH. Malahan, orang Melayu memang tidak menyokong PH pun dalam PRU14. 

Dalam PRU14, PH menang 113 kerusi sebelum ditambah kerusi Warisan dan lain-lain yang lompat. Kita fokus kepada PH sahaja dalam perbincangan ini. Daripada 113 kerusi itu, 48 adalah kerusi PKR, 42 DAP, 12 Bersatu dan 11 Amanah. 

Maksudnya 90 daripada 113 kerusi, iaitu 80 peratus, dipegang oleh dua parti yang dilihat sebagai bukan parti Melayu. Parti-parti Melayu memegang hanya 20 peratus kerusi parlimen kerajaan.

Kajian juga mendapati hanya 25 peratus orang Melayu mengundi PH. Tetapi 95 peratus pengundi Cina dan 75 peratus pengundi India menyokong PH. 

PH merupakan kerajaan yang ditolak oleh orang Melayu dengan begitu jelas. Buat pertama kali dalam sejarah negara sejak Merdeka, orang Melayu merasakan mereka hilang kuasa politik. 

Ini perubahan yang amat drastik kerana ia mengubah intonasi perbincangan dalam kerajaan dan turut mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan, lantas membawa kepada kebimbangan besar dalam kalangan orang Melayu. 

Benar, kita impikan suatu hari nanti isu-isu bangsa dan agama ini tidak lagi menjadi asbab perpecahan dalam kalangan rakyat. Tetapi usaha itu mengambil masa dan memerlukan kesungguhan berterusan. Sekarang kita belum di tahap itu lagi dan kita mesti menerima realiti, bukan dipandu idealisme sahaja. 

Malahan dalam satu kajian selepas PRU14 oleh Serina Rahman dari ISEAS Yusof Ishak Institute, Singapura, didapati ada orang Melayu yang mengundi PH dalam PRU14 merasa menyesal (rujuk buku “The Defeat of Barisan Nasional” mukasurat 180). Itulah realiti sebenar.

Hakikatnya PH terlalu dipengaruhi oleh cara pemikiran golongan yang saya pernah label sebagai “Bangsar Bubble”. Pemikiran “Bangsar Bubble” ini wujud bukan saja di bandar tetapi di merata tempat. Ia adalah cara pemikiran, bukan lokasi fizikal. 

Pemikiran ini menuntut kerajaan melakukan perkara-perkara yang ada antaranya menyebabkan orang Melayu menjadi bimbang, termasuklah beberapa agenda reformasi institusi yang dilihat menyentuh orang Melayu. 

Pemikiran itu amat berpengaruh dalam PH kerana pengundi teras DAP dan PKR adalah golongan yang terpisah daripada realiti majoriti orang Melayu, terutama Melayu luar bandar. Oleh kerana PKR dan DAP menguasai 80 peratus daripada PH, maka merekalah yang mencorakkan pemikiran PH.

Bagaimanapun, melalui PN parti-parti besar Melayu telah bergabung dan kembali menjadi teraju. Pada awalnya saya sendiri skeptikal kerana bagi saya kita tidak boleh mentadbir Malaysia yang majmuk ini dengan mengenepikan orang bukan Melayu. 

Tetapi kini sudah ada sembilan lagi parti dalam PN yang membawa kepelbagaian dalam gabungan ini, termasuklah parti-parti dari Sabah dan Sarawak. 

Rakyat pasti akan selesa dengan PN kerana ia mengembalikan struktur asas dalam kuasa politik negara. Kestabilan ini akan membolehkan PN membaiki negara dengan lebih tenteram.

Sebab kedua kenapa PN boleh lebih stabil ialah dalam PN tidak wujud perebutan jawatan perdana menteri seperti yang berlaku antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. 

Ramai yang cuba menafikan wujudnya had tempoh dua tahun untuk peralihan kuasa. Tetapi tempoh dua tahun ini sebenarnya datang dari Mahathir sendiri. 

Dalam temuramah dengan akhbar Jepun Mainichi Shimbun bertarikh 3 Februari 2018, Dr Mahathir dipetik berkata: “I can’t stay for very long. At the most, I can last for two years.” Ayat ini mengundang pertelagahan yang tidak berkesudahan.

Dalam PN perebutan kuasa seperti PH tidak wujud. Muhyiddin Yassin disokong oleh semua parti. Muhyiddin baru berumur awal 70-an dan kekal segar setelah berjaya melawan kanser. Tambahan pula tidak ada tokoh parti lain yang boleh dinobatkan sebagai perdana menteri sekarang. 

Muhyiddin tidak mempunyai kes mahkamah dan tidak ada bagasi negatif, malahan merupakan individu yang bangkit melawan kleptokrasi sebelum ini. 

Kredibiliti beliau, baik dalam usaha melawan rasuah mahupun dalam mempertahankan institusi Melayu dalam negara, tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa. Beliau merupakan calon perdana menteri sehingga selepas PRU15 nanti.   

Bagaimanapun, ada dua prasyarat yang perlu dipenuhi untuk memastikan kejayaan PN. Prasyarat pertama, ringkas sahaja, iaitu Bersatu sebagai komponen penting PN mesti “move forward” dan keluar dari pertikaian dalaman. 

Sebagai parti tunjang kerajaan, Bersatu sendiri mesti stabil dahulu. Rasanya perkara ini tidak perlu huraian kerana ia amat jelas.

Prasyarat kedua berkait dengan pendaftaran. Setakat ini ada 12 parti yang telah menyatakan persetujuan membentuk PN. Ada sebilangan kecil tokoh dari Umno yang kelihatan tidak selesa dan ini memang tidak pelik. 

Hakikatnya, Umno akan perlu banyak berkorban jika PN diteruskan. Ini kerana dalam BN mereka adalah parti dominan tetapi dalam PN mereka akan hilang status dominan itu. Sudah pasti ada pemimpin Umno yang risau.

Kesaksamaan dalam PN akan menjadikan ia lebih baik daripada BN. Tetapi sekarang ini, bagi saya, Umno perlu diberi masa dan ruang untuk menguruskan transisi.

Semua pihak dalam PN perlu memahami dan menghormati proses yang sedang berlaku dalam Umno itu. Pemimpin Umno bukan orang baru dalam politik dan mereka banyak pengalaman menguruskan perubahan. Berikan mereka masa dan hormati proses dalaman mereka.

Sebenarnya amalan demokrasi antarabangsa tidaklah mewajibkan sesebuah gabungan didaftarkan. Tetapi di negara kita, rakyat sudah terbiasa dengan gabungan yang berdaftar. 

Saya secara peribadi merasakan pendaftaran tidaklah penting sangat. Bagaimanapun saya faham bahawa tanpa pendaftaran akan ada banyak soalan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan. 

Maka dalam konteks hari ini, saya merasakan pendaftaran adalah prasyarat yang perlu dipenuhi dan saya harap pengumuman mengenainya boleh dibuat segera untuk menghilangkan kegusaran ahli-ahli semua parti komponen. – 14 Jun, 2020.

* Wan Saiful Wan Jan adalah pengerusi Inisiatif Bina Bangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen