SEORANG bekas pesakit Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) terkejut menerima bil hospital berjumlah AS$1.1 juta, lapor Seattle Times semalam.
Michael Flor, 70, dimasukkan ke sebuah hospital pada 4 Mac dan dirawat selama 62 hari. Pernah satu ketika Flor nazak sehingga pihak hospital menghubungi keluarganya supaya mereka dapat mengucapkan selamat tinggal kepadanya.
Bagaimanapun, Flor disahkan sembuh sepenuhnya pada 5 Mei.
Warga emas itu memberitahu akhbar Seattle Times dia menerima bil berjumlah AS$1,122,501.04.
Jumlah itu termasuk AS$9,376 bagi rawatan di unit rawatan rapi, hampir AS$409,000 bagi caj mensteril bilik selama 42 hari, AS$82,000 bagi caj penggunaan ventilator selama 29 hari dan caj hampir AS$100,000 ketika dia nazak.
Flor dilindungi Medicare, sebuah program insurans kesihatan kerajaan bagi warga emas, oleh itu tidak harus membayar bil menggunakan duitnya sendiri, kata Times.
Namun, Flor dipetik berkata dia rasa bersalah kerana pembayar cukai terpaksa menanggung bil hospitalnya yang tinggi. – AFP, 14 Jun, 2020.
Komen