Pelajar teruja, ibu bapa pula bimbang sekolah dibuka semula


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim Desmond Davidson

Pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam menjadi kumpulan pertama yang akan kembali ke sekolah supaya mereka boleh bersedia mengambil peperiksaan yang dijadualkan pada April tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun, 2020.

APABILA sekolah anaknya dibuka semula, Mohamad Saufi Shafie dan beberapa lagi ibu bapa akan menawarkan diri untuk mengambil suhu pelajar dan memastikan mereka beratur dengan betul sebelum memasuki kelas masing-masing.

Ibu bapa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawak juga menyumbangkan kain rentang untuk digantung di seluruh sekolah bagi mengingatkan pelajar agar mengamalkan langkah keselamatan setiap masa dan menjaga penjarakan sosial.

Sebelum kelas Tingkatan Lima bermula pada 24 Jun, ibu bapa mereka juga membantu guru membersihkan sekolah dan membasmi kuman di kelas.

Usaha itu dilakukan ekoran kebimbangan mereka tentang tahap keselamatan anak masing-masing untuk memulakan persekolahan ketika Malaysia terus mencatatkan kes baharu Covid-19 setiap hari.

Selepas mencatat kes rendah pada 10 Jun dengan dua kes jangkitan direkodkan, kes baharu naik semula pada 11 Jun dengan 31 kes disusuli 33 kes pada hari berikutnya.

“Anak-anak kami teruja untuk kembali ke sekolah selepas bercuti panjang,” kata Saufi yang anaknya belajar di Tingkatan Lima dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tetapi kami sebagai ibu bapa berasa bimbang sama ada mereka akan mengikut SOP (prosedur operasi standard),” kata Saudi yang terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di sekolah anaknya.

Kebimbangan ibu bapa di SMK Rawang turut disuarakan oleh mereka yang lain di seluruh negara ketika sekolah awam akan dibuka semula secara berfasa bermula 24 Jun.

Pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam menjadi kumpulan pertama yang akan kembali ke sekolah supaya mereka boleh bersedia mengambil peperiksaan yang dijadualkan pada April tahun depan.

Keputusan untuk membenarkan pelajar selain Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam serta murid sekolah rendah akan dimaklumkan kemudian.

SOP ketat telah ditetapkan untuk mengekalkan penjarakan sosial dan membendung kontak fizikal sepanjang masa.

Namun C.K Moy masih belum yakin kerana pembawa koronavirus mungkin tidak menunjukkan simptom dan tidak sedar mereka sudah dijangkiti.

“Pihak sekolah boleh mengambil suhu pelajar tetapi ia bukan jaminan bahawa individu tersebut bebas virus,” kata ibu kepada anak yang bersekolah Tingkatan Tiga.
 
“Kerajaan tidak melihat aspek lain. Jika seorang pelajar dijangkiti, dia akan membawa virus itu ke rumah dan mengundang risiko kepada orang lain terutamanya golongan warga emas.

“Banyak masalah perlu dibangkitkan sebelum sekolah dibuka semula. Saya fikir mereka boleh tunggu beberapa bulan lagi. Mereka perlu pertimbang semula keputusan ini.”

Juhaida Mohd Ramli dari Negeri Sembilan turut menyuarakan kebimbangan sama.

Dia berkata Malaysia perlu bebas Covid-19 sebelum membuka semula sekolah.

“Seperti yang Ketua Pengarah Kesihatan kata, perlu pastikan negara bebas kes Covid-19 selama 28 hari. Kemudian baru kita putuskan untuk membuka semula sekolah.” kata ibu kepada pelajar Tingkatan Empat.

Juhaida berkata walaupun SOP dikuatkuasakan, masih wujud kebimbangan bahawa pihak guru dan pentadbir sekolah tidak dapat memastikan semua pelajar mengikut arahan yang ditetapkan setiap masa.

Remaja tetap remaja

Selain pemeriksaan suhu setiap hari, SOP baharu untuk sekolah adalah mengurangkan jumlah pelajar antara 15 hingga 20 orang bergantung kepada saiz kelas.

Meja akan dipisahkan dengan jarak satu meter manakala kerja sekolah hanya melibatkan tugasan secara individu.

Tiada lagi perhimpunan pagi, acara sukan dan aktiviti kokurikulum.

Pelajar akan kekal berada dalam kelas semasa sesi rehat dan hanya seorang pelajar akan dipilih untuk membeli dan membawa makanan dari kantin bagi mengelakkan keadaan sesak.

Bagi A Murugiah, walaupun SOP dikuatkuasakan, tiada jaminan pelajar akan mengikut garis panduan itu setiap masa.

“Kita bercakap tentang remaja. Mereka akan cuba buat perkara yang kita larang,” kata Murugiah dari Kuala Lumpur.

“Kita sudah melalui zaman remaja, jadi kita tahu bagaimana mereka berfikir,” katanya.

Dia mempunyai anak perempuan di Tingkatan Enam yang akan kembali bersekolah pada 24 Jun ini.

“Saya dalam dilemma. Saya tidak mahu anak-anak ketinggalan dalam pelajaran tetapi saya juga bimbang tentang kesihatan mereka.

“Virus ini tidak boleh dilihat dan ada pembawa yang tidak mempunyai simptom.”

Bagi Desmond Kho dari Kuching, dia menyerahkan kepercayaan kepada pihak berkuasa yang telah berjaya menurunkan kadar jangkitan.

“Mereka adalah pakar. Lagipun, kehidupan mesti diteruskan. Kita tidak boleh hidup dalam ketakutan sepanjang masa.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada pihak ebrkuasa tetapi anak lelaki saya serba salah untuk kembali ke sekolah.

“Dia selesa dengan sesi pembelajaran secara dalam talian tetapi juga rindukan kawan-kawannya.”

Saufi berkata satu cara untuk mengurangkan kebimbangan adalah melibatkan diri secara aktif dengan pihak sekolah dan membantu guru serta pentadbir sekolah.

“Kita tidak boleh meletakkan semua beban kepada guru dan staf kerana mereka tidak boleh memantau anak-anak kita setiap masa.

“Ini bukan soal di dalam sekolah tetapi juga di luar sekolah apabila mereka pulang ke rumah,” kata Saufi dari Rawang.

“Seluruh masyarakat perlu berjaga-jaga dan memastikan anak-anak mereka tidak berkumpul dan tidak melepak sebelum pulang ke rumah.” – 14 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen