Spiderman ketika diawal penciptaannya nyaris-nyaris “dimatikan,” kata penciptanya Stan Lee, 94.
Lee berkata kepada pemberita di Tokyo, beliau mendapat ilham mencipta watak itu setelah melihat lalat yang sedang memanjat dinding beliau teringin untuk mencipta watak berkebolehan sebegitu.
“Kalau namakan ‘flyman’ macam tak berapa dramatik sangat. Apa lagi dia boleh jadi? Jantan nyamuk? Kemudian tersembul dari mulut saya: Spiderman. Nama itu berbunyi dramatik,” kata Lee.
Justeru Lee memutuskan untuk jadikan watak baharunya itu sebagai seorang remaja, dengan menyumbatnya dengan “perlbagai masalah peribadi.”
“Dia tak ada cukup duit. Dia tinggal dengan makciknya yang sakit, yang perlukan ubat. Dan dia kena jaga makciknya. Dalam masa sama dia perlu lawan orang jahat,” katanya.
Lee kemudiannya menceritakan idea Spiderman itu kepada penerbit yang kemudiannya berkata kepadanya: “Stan, ini idea paling teruk aku pernah dengar.”
Kata bosnya itu, superhero mestilah orang dewasa dan tidak boleh ada masalah. Sebab itulah mereka jadi superhero.
Tambah bosnya itu, “Ramai orang benci labah-labah. Awak tak boleh gelarkan hero itu sebagai Spiderman!”
Bagaimanapun, Lee dibenarkan menyelit kisah Spiderman dalam edisi terakhir komik yang kemudiannya dengan serta merta mendapat sambutan.
“Sekadar suka-suka, supaya tidak terperap dalam kepala, jadi saya letakkan Spiderman dalam edisi terakhir yang kemudiannya saya lupakan,” katanya.
“Sebulan kemudian, selepas jumlah jualan keluar, bos saya datang berlari ke pejabat saya dan berkata: ‘Ingat tak lagi watak Spiderman yang kita dua suka sangat itu? Jom jadikan dia watak kekal.’”
“Dan begitulah bagaimana Spiderman dilahirkan,” kata Lee disambut gelak ketawa dan tepukan gemuruh.
Masih bertenaga di usia 94 tahun, beliau mengaku memandu sekitar Tokyo dengan kereta “Super Mario” malam sebelumnya, beliau ditanya mengenai rahsia kesihatannya.
“Buat sibuk adalah ubat terbaik. Selagi kamu tak sibuk jadi orang jahat lah,” katanya.
Bila ditanya bagaimana beliau mendapat ilham untuk Spiderman, secara ringkas beliau menjawab: “Saya sangat bertuah. Saya cerdik.”
Lee berada di Jepun bagi mempromosikan edisi kedua Tokyo Comic Convention yang bermula Jumaat lepas. – AFP, 30 November, 2017.
Komen