POLIS India hari ini menahan seorang lelaki yang telah mencuri 120 buah televisyen sepanjang empat bulan lalu.
Modus operandi Vasudev Nanaiah, 34, ialah dengan menempah hotel murah di wilayah sekitar selatan India dengan membawa beg bersaiz besar bertujuan mencuri televisyen.
Menurut polis, jika televisyen hotel itu tidak muat, Nanaiah akan turun ke pasar untuk mendapatkan beli beg yang lebih besar.
Disebabkan sikapnya yang kelihatan baik, pekerja hotel tidak pernah mengesyaki kelibat beliau.
Malah, beliau akan membayar wang pendahuluan selain memberitahu pekerja hotel beliau akan menetap untuk beberapa hari, tetapi selalunya Nanaiah akan meninggalkan hotel lebih awal dari tarikh, kata timbalan pesuruhjaya polis Bangalore, Chetan Singh Rathor kepada AFP.
“Kami menahan dia awal bulan ini bila kami dapat laporan yang dia cuba menjual set TV,” tambahnya.
Pihak polis berkata, mereka telah menemui lebih kurang 20 buah televisyen dan mendapati Nanaiah ada menyimpan lebih dua dozen beg di Tamil Nadu dan Andhra Pradesh yang dipercayai digunakan untuk mencuri lebih 100 buah televisyen dalam tempoh empat bulan lalu.
Nanaiah memberitahu pihak berkuasa beliau mencuri televisyen kerana “berisiko rendah dan mudah,” kata polis.
“Katanya pencuriannya yang terbaharu digunakan untuk membayar peguam dan duit guaman untuk kes curi televisyen di mahkamah lain,” kata Rathor. – AFP, 30 November, 2017.
Komen