PUTRAJAYA tidak akan meminta syarikat petroleum negara Petronas membiayai pakej rangsangan ekonomi kesan penularan Covid-19, buat masa sekarang, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Tiada rancangan pada masa ini,” katanya, ketika ditanya sama ada kerajaan akan meminta pembayaran dividen khas daripada Petronas untuk membiayai pakej bantuan kepada rakyat.
Beliau bercakap pada satu sidang media selepas melawat ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur, hari ini.
“Sebagai langkah jangka pendek, suntikan fiskal Penjana ialah sebanyak RM10 bilion dan ia (akan dibiayai) melalui pinjaman dari pasaran tempatan.
“Kita boleh buat pinjaman asing kerana had kita ialah RM35 bilion tetapi kita tiada rancangan untuk mengeluarkan bon mata wang asing,” katanya.
Beliau berkata pinjaman kerajaan kini berjumlah RM30 bilion dan masih ada baki sehingga 15% lagi.
“Kita ada cukup (dana) untuk pinjam dalam pasaran, kerana pinjaman sekarang murah,” tambahnya.
Pada awal bulan ini, kerajaan mengumumkan pelan rangsangan ekonomi bernilai RM35 bilion bagi membantu pemulihan ekonomi kesan Covid-19.
Petronas membuat bayaran dividen khas sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan pada 2019 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan bagi membiayai keperluan kewangan negara. – 12 Jun, 2020.
MENYUSUL
Komen