GOLDMAN Sachs sedang berbincang dengan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) untuk membayar denda lebih rendah dan mengelak pengakuan bersalah bagi peranannya dalam penipuan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), lapor The New York Times.
Akhbar itu, memetik sumber berkata peguam bank meminta Timbalan Peguam Negara Jeffrey Rosen mengkaji semula tuntutan pendakwa persekutuan untuk ia membayar denda lebih AS$2 bilion (RM8.5 bilion) dan pengakuan bersalah bagi dakwaan feloni berhubung rancangan mengambil berbilion dolar daripada dana pelaburan itu.
Permintaan itu, yang dibuat beberapa minggu lalu, biasa berlaku bagi siasatan korporat berprofil tinggi, dan sering muncul ketika perbincangan penyelesaian hampir selesai.
Goldman Sachs tidak pernah mengaku bersalah dalam siasatan persekutuan.
Bank itu membantu mengumpulkan AS$6.5 bilion untuk 1MDB yang dilanda skandal melalui penjualan bon.
Jabatan Kehakiman AS berkata lebih AS$4.5 bilion dicuri daripada dana itu oleh pegawai atasannya dan sekutunya antara tahun 2009 hingga 2015.
Pada Januari, dilaporkan bank itu memperuntukkan AS$1.1 bilion dalam kos perundangan, dengan sebahagian besar jumlahnya bagi penyelesaian 1MDB. – 12 Jun, 2020.
Komen