DUA lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di kawasan Sea Park, Petaling Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 28 dan 39 tahun, ditahan Unit Ronda Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya ketika sedang membuat rondaan di kawasan itu pada 11.15 pagi.
Beliau berkata polis menahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan ke atas mereka membawa kepada penemuan pelbagai peralatan seperti pemutar skru serta spanar disyaki digunakan untuk mencuri motosikal.
“Kedua-dua suspek juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau selain gagal memberikan alasan yang munasabah terhadap peralatan-peralatan yang dimiliki mereka,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata kesemua suspek kini direman selama dua hari mulai hari ini bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam kes curi motosikal terutama di daerah Petaling Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955. – Bernama, 11 Jun, 2020.
Komen