Permohonan Najib, Shafee gugurkan Sri Ram didengar 16 Jun


Bede Hong

Gopal Sri Ram memimpin pasukan pendakwa dalam semua kes berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib Razak dan Muhammad Shafee Abdullah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan semakan kehakiman oleh Najib Razak dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah pada 16 Jun, bagi menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes jenayah yang dihadapi mereka.

Timbalan pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan tarikh pendengaran itu dengan pihak terlibat dalam pengurusan kes hari ini, menerusi sistem e-Review.

Permohonan akan difailkan esok, kata salah seorang daripada pasukan peguam yang mewakili kedua-dua pemohon.

Mahkamah Persekutuan pada Oktober lalu menolak rayuan Jabatan Peguam Negara terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan Najib dan Shafee menbuat semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram.

Bekas perdana menteri itu dan peguamnya mencabar kesahan pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan. Sri Ram, yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad Najib, yang bersambung pada 29 Jun.

Beliau turut mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram Shafee melibatkan RM9.5 juta yang masih belum bermula.

Najib dan Shafee secara berasingan memfailkan semalam kehakiman pada Disember tahun lalu bagi mencabar keputuan peguam negara untuk melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Mereka menamakan peguam negara/pendakwa, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden.

Mereka meminta perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkannya, dengan mengatakan bahawa surat pelantikannya tidak sah.

Mereka juga cuba mendapatkan deklarasi konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram, dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram memimpin pasukan pendakwa dalam semua kes mereka, termasuk yang berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen