Ibadat haji 2020 ditangguh ke tahun hadapan, kata menteri agama


Zaim Ibrahim

Keputusan Malaysia untuk menaguhkan ibadat haji 2020 itu juga telah disampaikan secara rasmi kepada kerajaan Arab Saudi.– Gambar EPA, 11 Jun, 2020.

IBADAT haji bagi tahun 2020 ditangguhkan ketahun hadapan, kata Zulkifli Mohamad Al-Bakri, susulan penularan Covid-19 yang melanda dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, perkara tersebut juga telah disampaikan secara rasmi kepada kerajaan Arab Saudi.

“Berdasarkan taklimat Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Mesyuarat Ahli-Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang bersama para mufti, pada 9 jun 2020, ibadat haji 2020 adalah ditangguhkan ke tahun hadapan,” kata beliau dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Jelas Zulkifli, keputusan Malaysia juga sudah dimaklumkan kepada Duta Arab Saudi ke Malaysia untuk disampaikan kepada Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr. Mohammed Saleh bin Taher Banten.

Menurutnya, selain Malaysia negara lain yang turut menangguhkan ibadat haji ialah Indonesia, Singapura, Brunei, dan Kemboja.

“Mereka yang tak dapat pergi tahun ini keseluruhannya akan dibawa ke tahun hadapan. Jadi yang tahun hadapan, akan dibawa ke tahun hadapan yang lain.

“Kita akan cuba usaha terbaik mungkin, kecuali masalah yang telah diterima daripada rayuan haji dan diterima oleh Lembaga Tabung Haji, jadi diminta untuk membuat rayuan semula kerana rayuan tahun ini dianggap terbatal. Mohonlah semula ke tahun hadapan,” jelasnya.

Berkenaan kemungkinan kuota haji akan bertambah tahun depan, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Kerajaan Arab Saudi selepas wabak Covid 19 dapat diselesaikan.

Jelasnya, bagi jemaah yang ingin meminta bayaran balik akibat pembatalan haji, perkara itu tidak akan menjadi masalah.

“InsyaAllah pihak Tabung Haji akan memberi penerangan di televisyen dalam satu ruangan khas esok,” katanya.

Di seluruh dunia setakat ini,  Covid-19 telah menjangkiti lebih 7.4 juta orang dan 419,373 daripadanya maut. Jumlah yang sembuh pula sebanyak 3.8 juta orang.– 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen