Ahli Parlimen Bebas tak termasuk dalam 107 sokong Pakatan


Pejabat Anwar Ibrahim hari ini dalam kenyataan berkata jumlah 107 diumumkan ketua pembangkang itu sebelum ini tidak termasuk ahli Parlimen Bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

AHLI Parlimen Bebas tidak termasuk dalam jumlah 107 wakil rakyat yang menyokong Pakatan Harapan yang didedahkan sebelum ini, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan ringkas dikeluarkan hari ini, pejabat Anwar berkata angka 107 yang diumumkan ahli Parlimen Port Dickson itu semalam tidak melibatkan wakil rakyat yang tidak hadir pertemuan khas diadakan Selasa lalu, antara PH, Warisan dan kumpulan dalam Bersatu yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad.

Pejabat Anwar membuat penjelasan itu selepas timbul persoalan tentang jumlah yang memihak kepada pembangkang dan khabar angin bertiup kencang yang PH kini makin hampir merampas semula kuasa di Putrajaya.

112 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat diperlukan untuk majoriti mudah membentuk kerajaan.

“Pejabat Anwar Ibrahim menerima banyak persoalan berkenaan jumlah sokongan Ahli Dewan Rakyat di pihak Pakatan Harapan, Warisan, dan kumpulan Bersatu yang bersama Dr Mahathir,” kata kenyataa itu.

Persoalan itu timbul selepas Anwar pada sesi Facebook Live semalam mengumumkan yang PH dan sekutunya dinamakan sebagai “Pakatan Plus” sudah menerima sokongan 107 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

“Ingin dimaklumkan bahawa jumlah 107 Ahli Parlimen seperti yang diperjelas sewaktu sesi Facebook Live beliau pada 10 Jun 2020 adalah berdasarkan jumlah yang diwakili setiap parti yang hadir sewaktu mesyuarat Pakatan Harapan (PH) bersama Bersatu dan Warisan pada 9 Jun 2020, dan belum mengambil kira Ahli Parlimen Bebas ataupun mana-mana pihak lain yang tidak hadir di dalam mesyuarat tersebut,” kata kenyataan lagi.

Pakatan Plus sebelum ini mengumumkan mereka sedang berusaha mengumpul sokongan bagi mengambil semula kuasa daripada Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan hujung Februari lalu.

PN menumbangkan PH melalui Langkah Sheraton, apabila 40 ahli Parlimen yang setia kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali keluar PH dan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS.

Berdasarkan kedudukan kerusi sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu, PN mendapat 114 sokongan wakil rakyat. – 11 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen