2 polis dituduh rasuah, lepaskan 3 warga Thai terlibat dadah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Muhammad Zuhair Mazlan, 27, salah seorang daripada dua tertuduh semasa kejadian antara 23 dan 24 Disember tahun lalu, bertugas di bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Jun, 2020.

DUA anggota polis didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam atas pertuduhan meminta dan menerima wang suapan untuk melepaskan tiga warganegara Thailand daripada tindakan undang-undang kerana kesalahan dadah.

Dua anggota polis itu, Shaiful Rizal Osman, 36, dan Muhammad Zuhair Mazlan, 27, semasa kejadian antara 23 dan 24 Disember tahun lalu, bertugas di bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

Shaiful didakwa meminta suapan RM5,000 daripada seorang warga Thailand, Atanan Jhebueraheng untuk melepaskan tiga warga Thailand yang lain iaitu Nordinn Chebueraheng, Saifudin Madeng dan Hakimee Sabideng.

Shaiful juga dituduh bersama Zuhair menerima suapan RM3,000 daripada Atanan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Negeri di IPD Sungai Buloh.

Mereka mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab manakala Shaiful diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff. Zuhair tidak diwakili peguam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. 

Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, berdasarkan hukuman di bawah Seksyen 24 akta sama.

Rozilah membenarkan Shaiful diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin. Zuhair pula dibenarkan jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mereka yang masing-masing kini bertugas sebagai anggota polis di Selangor dan Johor turut diarahkan oleh mahkamah supaya melapor diri di pejabat SPRM negeri masing-masing pada minggu pertama setiap bulan. 

Mereka juga diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen dan sebutan semula pada 16 Julai. – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen