Penjana bantu rakyat miliki rumah


PANDEMIK Covid-19 bersama kebiasaan baharu telah bukan sahaja merubah malah turut membawa komplikasi kepada pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia, antaranya sektor harta tanah.

Sektor harta tanah yang terjejas termasuklah harta tanah peruncitan, hotel dan rumah inap. Malah pertumbuhan jualan harta tanah kediaman juga mengalami kemerosotan yang mana ia turut menjejaskan rantaian nilaian sektor ini seperti industri pembinaan yang turut menerima tempias. 

Oleh itu, Pelan Jana Semula Sektor Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020 baru-baru ini bakal membantu  memulihkan sektor harta tanah ini. 

Penjana bertujuan menyokong sektor ekonomi dalam kebiasaan baharu merangkumi tiga teras iaitu memperkasakan rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi. 

Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM35 bilion untuk memastikan agar pelan ini sampai kepada sasaran masyarakat untuk memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19. 

Antara yang menjadi tumpuan ialah inisiatif-inisiatif oleh kerajaan dalam membantu untuk memulihkan sektor harta tanah yang teruk terjejas akibat pandemik ini. 

Melalui Penjana, kerajaan mengambil inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan sektor harta tanah iaitu pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada rakyat Malaysia jika ingin membuat pelupusan rumah kediaman mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021 terhad kepada pelupusan tiga (3) unit rumah kediaman sahaja. 

Selain itu kerajaan juga memperkenalkan kembali kempen pemilikan rumah (HOC) yang mana kempen sebelum ini telah berjaya meningkatkan penjualan harta tanah kediaman seperti yang di laporkan dalam Laporan Pasaran Harta Tanah 2019. 

Melalui kempen baru ini, pengecualian duti setem terhad kepada RM1 juta pertama akan diberikan ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah bernilai dari RM300,000 hingga RM2.5juta mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju. 

Tahun 2019 telah menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 6% dalam aktiviti pasaran harta tanah kediaman berbanding 1.4% pada tahun 2018. Ini menunjukkan sektor ini telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah beberapa tahun menunjukkan pertumbuhan yang perlahan. 

Namun akibat pandemik Covid-19 pada akhir tahun 2019 telah memberi kesan yang signifikan kepada industri harta tanah pada suku pertama tahun 2020 terutama harta tanah kediaman yang menjadi nadi penggerak pertumbuhan industri ini. 

Laporan Pasaran Harta Tanah untuk suku pertama tahun 2020 menunjukkan kemerosotan bilangan unit transaksi sebanyak -9.9% dan penurunan nilai transaksi sebanyak -14.4% pada Q1 2020 berbanding jangka masa yang sama tahun sebelumnya. Kemerosotan ini dijangka akan berterusan untuk suku tahun berikutnya.

Justeru, melalui inisiatif- inisiatif ini ia mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempunyai rumah kediaman kerana kos untuk pembelian rumah akan menjadi lebih murah. Ia disokong dengan kos pinjaman perumahan yang lebih rendah oleh kerana Kadar Dasar Semalaman (OPR) hanya sebanyak 2% iaitu yang terendah sejak tahun 2009. 

Kerajaan juga telah melancarkan Dasar Perumahan Negara 2018- 2025 yang memberi penekanan kepada isu rumah mampu milik. Dengan faktor – faktor fiskal yang menggalakkan pembelian rumah, ia merupakan waktu yang sesuai untuk membeli rumah. 

Walau  bagaimanapun, masalah rumah mampu milik masih lagi membelenggu kebanyakan rakyat Malaysia. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada tahun 2019, purata harga rumah yang mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia ialah RM282,000. 

Selain itu, laporan Bank Dunia yang menyatakan kesan daripada wabak Covid-19 akan menyebabkan peningkatan dalam kadar kemiskinan dunia sebanyak 0.8% kepada 8.6%  harus diambil serius. Ditambah lagi impak wabak ini menyebabkan kehilangan pekerjaan maka ia turut akan menjejaskan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia. 

Pihak pemaju harus menggembleng usaha bersama pihak kerajaan dalam membantu kempen pemilikan rumah dengan membina lebih banyak rumah mampu milik kerana segmen ini mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia. 

Bebanan tidak seharusnya diletakkan semata-mata kepada kerajaan dalam menangani rumah mampu milik kerana kerajaan pada waktu kini harus menumpukan usaha dalam memulih ekonomi secara keseluruhan. 

Usaha-usaha kerajaan dalam memberi pelbagai inisiatif melalui dasar fiskal tidak akan berjaya jika pemain-pemain utama sektor harta tanah tidak turut sama dalam membantu negara ketika dalam keadaan sukar ini. 

Kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik ini seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan serta sumber mata pencarian akan memberi kesan kepada kemampuan rakyat Malaysia dalam usaha memiliki rumah. – 11 Jun, 2020.

* Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali adalah dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen