Pengusaha taman tema teruja untuk kembali beroperasi selepas PKP 


Khoo Gek San

Kebanyakan pengendali taman tema terpaksa beralih kepada perniagaan seperti penghantaran makanan untuk terus bertahan sepanjang PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

INDUSTRI taman tema menanggng kerugian kira-kira RM240 juta kerana tidak beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 18 Mac, kata Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MAATFA).

Presidennya Richard Koh memberitahu The Malaysian Insight, taman tema di Selangor paling teruk terjejas, dan menambah mujur tiada taman tema di seluruh negara gulung tikar ketika tempoh ini.

Ada taman tema yang mengalih perniagaan mereka, termasuk ke khidmat penghantaran makanan, untuk terus bertahan, katanya.

“Industri taman tema terjejas teruk akibat Covid-19 dan syarikat menanggung kerugian jutaan ringgit kerana kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi seperti sewa, gaji pekerja dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa penutupan berterusan akan menyebabkan segelintir taman tema akan gulung tikar.

“Sekiranya taman tema tidak dibenarkan beroperasi tak lama lagi, ada kemungkinan sebahagian daripada pemilik terpaksa mengisytiharkan bangkrap kerana kos serta komitmen modal yang tinggi,” kata Koh.

Koh turut menggesa kerajaan untuk memberi bantuan kepada semua pekerja tetap di bawah Program Subsidi Upah dan tidak mengehadkan kepada 200 pekerja sahaja.

Beliau juga berkata, kebanyakan taman tema terpaksa menghentikan pekerja kontrak mereka bagi mengurangkan kos.

Malah katanya, ada segelintir pemain industri bertukar kepada khidmat penghantaran makanan untuk bertahan sepanjang PKP.

“MAATFA turut memohon kerajaan untuk memberi kenaikan pada bantuan utiliti, peniaian, lesen perniagaan dan subsidi gaji,” katanya.

Kebiasaan baharu selepas PKP

Koh juga berkata, taman tema tidak akan berdepan cabaran besar untuk membuka semula perniagaan di bawah kebiasaan baharu, terutamanya berkaitan keselamatan dan langkah penjarakan sosial.

“Orang ramai sedia untuk ke kawasan umum selagi langkah keselamatan dan kesihatan diamalkan.

“Guangzhou Safari & Marine Park di Zhuhai Universal di Orlando telah dibuka semula. SeaWorld Orlando dijangka akan dibuka semula pada 11 Jun dan Disney World pada 11 Julai.

“Ya, kita sedia menerima kebiasaan baharu. Kita sudah merancang dan menetapkan SOP baharu untuk buka semula taman tema kami.

“Dalam masa yang sama, kakitangan diberikan latihan dan panduan mengenai SOP baharu,” katanya dan menambah ahli persatuan komited ke arah pemulihan.

Menurutnya, taman tema sudah dikenali dengan langkah keselamatan yang ketat, dan menambah mereka turut memperuntukkan perbelanjaan untuk inisiatif seperti aturan maya, jualan tiket atas talian dan sebagainya.

“Pengurangan saiz taman tema, permainan, kemudahan, premis perniagaan jelas akan mengehadkan potensi syarat operasi dan pendapatan,” katanya.

Koh berkata, pelaburan tambahan juga perlu untuk menjana pendapatan.

Dalam masa yang sama, kos operasi juga dijangka meningkat berikutan syarat untuk pemakaian penutup mulut dan hidung, pembasmi kuman dan keperluan lain untuk mengekalkan kebersihan dan standard keselamatan dengan kebiasaan baharu.

Tambahnya, mengehadkan operasi juga akan menyebabkan kerugian. – 11 Jun, 2020.


  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen