Sektor pelancongan belum tentu pulih segera, kata pengusaha


Zaim Ibrahim

Pihak persatuan akan memantau perkembangan sambutan pelancongan di Langkawi untuk tempoh tiga bulan akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2020.

PENGUSAHA pelancongan di Pulau Pinang dan Kedah belum mahu melompat seronok lagi walaupun kerajaan sudah membenarkan semula kegiatan pelancongan bermula minggu ini di bawah perintah kawalan pergerakan fasa pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa semalam.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, beberapa hotel sudah mula ditempah tetapi belum ada peningkatan tempahan secara mendadak.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kedah-Perlis, Eugene Dass berkata, pemulihan sektor pelancongan akan memakan masa, selepas terjejas teruk akibat penggantungan aktiviti sejak lebih tiga bulan lalu.

“Tempahan hotel di Langkawi belum lagi sampai sehingga 1,000 tempahan. Banyak lagi hotel di Langkawi yang tutup operasi sementara.

“Untuk kita letakkan sasaran juga terlalu awal kerana, realitinya hotel-hotel masih dalam mod bertahan.

“Kita cuba isi hotel sebanyak yang boleh tetapi masih ada tempat-tempat tarikan pelancongan belum dibuka.

“Feri juga setakat ini ada tiga trip sahaja iaitu satu di Kuala Kedah dan dua di Kuala Perlis,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Dass, pihak persatuan akan memantau perkembangan sambutan pelancongan di Langkawi untuk tempoh tiga bulan akan datang.

“Kita mahu industri ini bergerak walaupun tetamu hanya daripada orang Langkawi dan Kedah sahaja,” katanya, sambil menjelaskan banyak hotel telah menurunkan harga sewaan bilik kerana mahu menarik pelancong datang.

Bagaimanapun Dass berkata harga yang murah itu tidak boleh kekal lama sebaliknya akan kembali kepada kadar biasa apabila permintaan semakin bertambah.

Sementara itu, pengerusi MAH cawangan Pulau Pinang, Khoo Boo Lim juga berkata, tiada peningkatan mendadak tempahan bilik hotel di negeri itu.

Pihaknya juga tidak dapat meletakkan sebarang sasaran ekoran wabak Covid 19 masih lagi belum diselesaikan sepenuhnya.

“Sukar untuk menjangkakan pasaran dengan keadaan ini.

“Beberapa hotel juga ada membuat pelbagai tawaran untuk menarik lebih ramai pelancong. Tetapi kami mendapati, beberapa pihak mengambil kesempatan dengan menipu pelancong.

“Saya nasihatkan orang ramai yang mahu melancong untuk menempah secara terus dengan hotel atau melalui laman web berdaftar,” kata Khoo.

Ahad lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tambahan kelonggaran ke atas PKP dengan kebenaran antaranya untuk rakyat membuat perjalanan merentas negeri.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, kaji selidik terhadap 402 buah hotel oleh MAH Malaysia mendapati 96% sudah mengamalkan SOP keselamatan dan kebersihan bagi mencegah Covid-19.

Jumlah selebihnya pula hanya menunggu pembukaan semula operasi hotel untuk melaksana SOP tersebut.

Hasil selidik juga merekodkan permintaan tempahan hotel perlahan tetapi konsisten untuk bulan yang akan datang dan permintaan kembali stabil pada 2021.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Pelancong Zon Utara, Ahmad Roslan Abd Latiff berkata, penjarakan sosial di dalam bas boleh menyebabkan kos seseorang pelancong meningkat.

“Bas kita memuatkan 44 orang tetapi jika ikut SOP hanya 22 orang saja.

“Tetapi kita masih perlu membayar upah sebuah bas dan pemandu,” katanya.

Jelas Roslan, sekiranya suatu perjalanan itu kosnya RM150 bagi seorang penumpang, ia tentu naik sekali ganda sekiranya bas hanya boleh membawa separuh muatan penumpang.

“Kalau kita bawa 22 orang saja pula, rugi kepada pihak syarikat pelancongan sebab terlalu sedikit. Kalau bawa lebih ramai, kita perlu tambahkan lagi bayaran untuk sebuah bas dan pemandu.

“Sebab itu, saya risau dengan SOP baharu ini tidak ramai akan mengambil pakej-pakej daripada syarikat pelancongan,” tambahnya. – 11 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen