SPRM bongkar sindiket seleweng subsidi minyak


Kalidevi Mogan Kumarappa

Empat pengarah syarikat yang dipercayai menyeleweng kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ditahan oleh SPRM semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Jun 2020.

AGENSI anti rasuah menahan empat pengarah syarikat yang dipercayai menyeleweng kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Keempat-empat mereka dibawa ke mahkamah di Putrajaya pagi ini untuk diproses bagi tahanan reman, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Khusairi Yahaya.

“SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintah keempat-empat mereka direman lima hari sehingga Sabtu.

Khusairi mengesahkan empat individu itu yang berumur antara 30 hingga 41 tahun ditahan di sekitar Selangor dan Putrajaya, lewat petang semalam.

Sumber SPRM sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight agensi anti rasuah melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam satu operasi yang diberi nama Ops RBD, yang menyebabkan kerajaan kerugian berjuta ringgit yang tiris.

“Berdasarkan anggaran SPRM, sindiket ini telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi sebanyak RM21.6 juta sejak tiga tahun lalu. Terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket ini,” kata sumber.

Semakan SPRM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sindiket ini diberikan kuota membekalkan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan.

“Sepatutnya, syarikat-syarikat ini memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan 1kg dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

“Apa yang berlaku, minyak masak bersubsidi ini tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya, sebaliknya dikumpul dan dieksport keluar negara. 

“Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan bekalan minyak masak berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil,” katanya.

Selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, kata sumber, syarikat-syarikat ini turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang kononnya mereka buat.

Dalam tempoh tiga tahun, sindiket ini menuntut bayaran sebanyak RM21.6 juta daripada kerajaan, kata sumber.

Menurut Khusairi, empat individu itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Mereka boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai penyelewengan, jika sabit kesalahan. – 10 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen