Skandal hamba, Libya benarkan tahanan dipindahkan serta merta


Pertemuan pemimpin Eropah dan Afrika itu diadakan selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron (tengah) memohon ia dianjurkan bagi mendapatkan persetujuan Libya mengatasi masalah itu dengan kerjasama negara terlibat. – Gambar AFP, 30 November, 2017.

LIBYA pada Rabu bersetuju dengan permintaan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) dan Afrika untuk membenarkan pendatang yang didera di kem tahanan dipindahkan dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Keputusan itu diambil selepas Presiden Ivory Coast Alassane Ouattara mendesak “langkah segera” diambil untuk menghapuskan perdagangan hamba dan penderaan pendatang di Libya pada Sidang Kemuncak EU-Afrika di Abidjan.

Pemimpin Libya, Perancis, Jerman, Chad, Nigeria dan negara lain “memutuskan untuk melakukan operasi kecemasan besar-besaran untuk memindahkan pendatang dari Libya,” kata Macron kepada wartawan selepas perbincangan di sidang kemuncak itu.

“Libya mengulangi persetujuan mereka untuk mengenal pasti kem tempat berlakunya kejadian tidak berperikemanusiaan itu,” kata Macron lagi, menambah yang presiden Libya yang disokong PBB “Sarraj memberikan persetujuan yang akses kepada kawasan itu akan diberikan.”

Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah dan pegawai PBB pada pertemuan itu meningkatkan sokongan kepada Organisasi Migrasi Antarabangsa “untuk membantu rakyat benua Afrika yang ingin pulang ke negara masing-masing,” kata pemimpin Perancis yang memohon mesyuarat itu diadakan.

“Usaha ini akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa hari akan datang, dengan kerjasama negara terlibat,” katanya. – AFP, 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen