AS desak China henti hantar minyak ke Korea Utara


Duta AS Nikki Haley memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada mesyuarat tergempar semalam yang ujian peluru balistik rentas benua (ICBM) Korea Utara “menuntut semua negara untuk memulaukan rejim Kim.” – Gambar AFP, 30 November, 2017.

AMERIKA Syarikat pada Rabu mendesak China menghentikan penghantaran minyak mentah ke Korea Utara dan menekan semua negara untuk memulaukan rejim Kim Jong-Un dengan memutuskan semua ikatan diplomatik dan perdagangan.

Duta AS Nikki Haley memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada mesyuarat tergempar semalam yang ujian peluru balistik rentas benua (ICBM) Korea Utara “menuntut semua negara untuk memulaukan rejim Kim.”

Dalam perbualan telefon awal hari ini, Presiden AS Donald Trump meminta Presiden Xi Jinping untuk menghentikan penghantaran minyak mentah China ke Korea Utara, tindakan yang dianggap boleh melumpuhkan ekonomi Korea Utara itu.

Trump memberitahu pemimpin China “sudah sampai masanya yang China perlu menghentikan (penghantaran) minyak ke Korea Utara,” kata Haley.

“Itu akan menjadi langkah penting dalam usaha dunia menghentikan paria antarabangsa ini,” katanya.

Haley juga menggesa “semua negara untuk memutuskan ikatan dengan Korea Utara” dan Majlis Keselamatan perlu menarik hak pengundian Korea Utara di PBB.

Majlis itu bermesyuarat selepas diminta AS, Jepun dan Korea Selatan bagi mempertimbangkan langkah seterusnya selepas tiga sekatan yang dilakukan sebelum ini gagal mengubah tindakan terburu-buru Korea Utara.

Halley berkata pelancaran ICBM menimbulkan kebimbangan meletusnya perang.

“Diktator Korea Utara semalam membuat keputusan yang menyebabkan dunia hampir kepada peperangan.”

“Jika perang berlaku, jangan kata kami tak beri amaran: Korea Utara akan hancur sepenuhnya,” katanya lagi.

Pyongyang pada Rabu menguji ICBM ketiganya- yang didakwa berupaya mengenai mana-mana sasaran di AS- selepas dua bulan berhenti melakukan ujian senjata. – AFP, 30 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen