Jangan buat SOP sendiri, kata Ismail Sabri


Pengumuman Rapid Rail mengenai tiada lagi penjarakan fizikal di dalam semua tren dan stesen ditegur oleh menteri kerana ia perlu mendapat persetujuan daripada MKN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

TIADA mana-mana pihak boleh membuat peraturan sendiri mengenai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan berkaitan dengan pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulas pengumuman Rapid Rail Sdn Bhd bahawa tiada lagi penjarakan fizikal di dalam semua perkhidmatan LRT, MRT dan komuter bermula esok, seperti sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Kalau mereka mahu buat perubahan, mereka perlu memohon daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Bukan tiba-tiba umum apa yang mereka rasa patut mereka umum,” katanya dalam sidang media harian mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Abdul Amran bagaimanapun dalam kenyataan media pengumumannya berkata pihaknya membuat keputusan sejajar dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Awal hari ini, Rapid Rail mengumumkan tiada lagi penjarakan fizikal di dalam semua tren dan stesen mulai esok, ketika kerajaan melaksanakan PKP yang masuk ke fasa pemulihan berkuat kuasa sehingga 31 Ogos ini.

Katanya, SOP itu membenarkan kapasiti 100% penumpang dalam semua perkhidmatan rel kecuali perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan perkhidmatan antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

The Malaysian Insight difahamkan SOP untuk sektor pengangkutan awam darat sudah disediakan oleh Kementerian Pengangkutan tetapi belum lagi mendapat kelulusan daripada MKN. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen