Anwar-Dr Mahathir perlu bekerjasama lawan 'musuh', kata Chin Tong


Chan Kok Leong

Pakatan Harapan berharap Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim kembali bekerjasama untuk kembali berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun, 2020.

PENTING bagi Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad untuk bergabung semula kerana lawan mereka lebih besar, kata pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

“Kami memerlukan keduanya kerana ada lawan yang lebih besar iaitu Muhyiddin Yassin dan Najib Razak. Dengan lawan yang lebih besar, Pakatan (Harapan) memerlukan Anwar dan Dr Mahathir,” kata bekas timbalan menteri pertahanan itu pada webinar malam tadi.

Liew, bekas ahli Parlimen dua penggal, menjawab pertanyaan mengenai apakah Dr Mahathir masih relevan dengan usianya yang kini sudah menjangkau 94 tahun.

Mengenai apakah, Anwar dan Dr Mahathir boleh berdamai selepas laporan mendakwa kedua-duanya tidak mahu bertemu satu sama lain, Liew berkata beliau menaruh harapan.

“Saya harap kita dapat mencari jalan untuk bergerak ke depan dan menyedari Anwar dan Dr Mahathir saling memerlukan untuk meneruskannya.

“Saya harap kedua-duanya menyedari mereka bukan musuh.”

Anwar dan Dr Mahathir mempunyai sejarah yang panjang sebagai pesaing dan kolaborator, katanya.

“Pada 1969, Anwar mengedarkan surat Dr Mahathir mengenai keadaan orang Melayu. Selama bertahun-tahun, mereka bersatu dan berselisih faham. Pada masa ini, kita mesti menguruskan perbezaan untuk berdepan lawan utama.

“Ada perselisihan faham tetapi pertimbangan wajar akan timbul apabila kita faham apa yang dipertaruhkan.”

Presiden Bersatu Muhyiddin menggantikan ketuanya Dr Mahathir sebagai perdana menteri berikutan peletakan jawatannya pada akhir Februari.

Muhyiddin menarik Bersatu keluar daripada PH untuk menjalin pakatan dengan GPS, Umno, dan pakatan pemerintah Sarawak.

Sejak kejatuhan PH, Dr Mahathir dan Anwar tidak pernah dilihat di khalayak ramai dan kedua-duanya kelihatan saling mngelak pada sidang media yang dianjurkan atas nama pakatan.

Sementara itu, Liew sekali lagi melenyapkan spekulasi yang DAP adalah parti “komunis”.

“Menuduh seseorang sebagai komunis adalah cara paling mudah untuk mencemarkan nama baik mereka semasa Perang Dingin dari 1948 hingga kejatuhan Tembok Berlin pada 1989.

“Di Amerika Syarikat, anda akan diburu jika mengkritik golongan konservatif. Tetapi apa itu komunisme? Adakah ia komunis Cina hari ini dengan semua perniagaannya?” kata Liew.

Bagi DAP, Liew berkata parti itu tidak pernah percaya kepada komunisme sebagaimana ia mempercayai pilihan raya demokratik.

“Sejak ditubuhkan pada 1966, DAP mengambil bahagian dalam semua perjuangan demokrasi walaupun tidak adil pada waktu itu. Ini adalah parti berparlimen,” kata Liew.

DAP sering dilabel komunis oleh parti sayap kanan, seperti Umno dan PAS. – 9 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen