Kempen beli rumah di tengah wabak Covid-19: Untuk apa, untuk siapa?


BARU-baru ini kita lihat kakitangan syarikat penerbangan dan media telah diberhentikan. Di media sosial juga, kita lihat ramai yang terpaksa mencari inisiatif untuk berniaga seperti menjual makanan, alat kosmetik atau barang-barang lain untuk menyara hidup selepas dibuang kerja. 

Rata-rata rakyat mengalami masalah dalam mengharungi normal baru. Pada Jumaat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bertujuan untuk membantu rakyat dan ekonomi negara yang telah terkesan akibat Covid-19. 

Namun terdapat inisiatif yang agak pelik diperkenalkan, contohnya kempen pemilikan rumah. 

Siapakah yang mampu untuk membeli rumah di dalam keadaan ekonomi sebegini? Siapa yang mempunyai wang untuk menggunakan inisiatif ini? Adakah rakyat-rakyat marhaen yang masih merangkak mencari wang bagi menyara hidup? 

Lebih-lebih lagi dengan kadar pengangguran yang tinggi seperti sekarang, ramai yang mempunyai masalah kewangan dan agenda membeli rumah tidak akan menjadi pilihan yang utama. 

Jadi persolannya, siapakah yang akan untung dengan inisiatif ini jika bukan pemaju- pemaju yang dapat menjual unit-unit bangunan mereka yang tidak terjual. 

Seperti yang kita sedia maklum, rumah siap dibina namun, tidak terjual telah menjadi masalah di dalam sektor perumahan. 

Mengikut definasi NAPIC, “unit tidak terjual” bermaksud unit kediaman yang telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) tetapi masih belum terjual lebih daripada sembilan bulan selepas dilancarkan. 

Pelik bukan? Kerana ramai dari masyarakat yang masih belum memiliki rumah terutamanya generasi-generasi muda yang memilih untuk menyewa daripada membeli. 

Jadi mengapa unit-unit ini tidak terjual sedangkan ramai yang menginginkan kediaman rumah? 

Berdasarkan laporan Bank Negara (Imbalances in the Property Market), pada tahun 2017 jumlah unit yang tidak terjual sebanyak 130,690 unit, dan sebanyak 83% dari jumlah unit tersebut adalah dalam kategori lingkungan harga sebanyak RM250,000 ke atas. 

Mengikut laporan tersebut, sebilangan besar unit rumah yang tidak terjual adalah disebabkan lingkungan harga pelancaran rumah dan kemampuan masyarakat untuk membeli adalah tidak sama. 

Maksudnya, harga-harga rumah yang ada di luar kemampuan masyarakat. 

Bayangkan jika kita mahu membeli buku yang berharga RM20 untuk sekolah tetapi kita hanya mempunyai wang simpanan sebanyak RM10. Akibat dari itu, kita hanya mampu meminjam buku tersebut dari perpustakaan. 

Itulah yang berlaku yang ramai yang memilih untuk menyewa rumah dari membeli. 

Keduanya adalah kerana, kenaikan perlahan isi rumah (CAGR 2012-2016: 9.6%) berbanding dengan harga rumah rata-rata (15.6%). Rata-rata harga rumah rata-rata di Malaysia adalah 5.0 kali ganda isi rumah tahunan, menjadikan harga rumah tidak berpatutan. 

Antara 2007 hingga 2016, harga rumah purata meningkat 10 peratus, namun pendapatan hanya tumbuh sekitar 8 peratus. Mengapa para pemaju terus membina rumah-rumah yang tinggi walaupun permintaan rumah-rumah kos-kos rendah adalah tinggi? 

Antara insentif perumahan lain ialah, had pembiayaan bagi peminjam rumah ketiga dan seterusnya yang bernila RM600 ribu ke atas tidak tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah. Sebelum ini, jika seseorang itu telah memiliki 2 buah rumah, jika ingin memiliki rumah ketiga, pinjaman boleh diberikan hanya sebanyak 70% dari harga rumah. 

Contoh yang mudah ialah, bayangkan jika  Mak Cik Kiah ingin membeli rumah ketiga yang berharga RM 100 ribu, beliau hanya boleh meminjam dari bank sebanyak RM 70 ribu sahaja. Peraturan ini dilakukan unuk menyokong pasaran harta tanah yang stabil dan mengelakkan pelaburan oleh pelabur rumah melonjakkan harga rumah di pasaran. 

Dengan insentif baru ini, jika Mak Cik Kiah ingin membeli rumah ketiga atau seterusnya, beliau boleh meminjam dari bank dengan 80 atau 90 peratus dari harga rumah iaitu dengan pinjaman sebanyak RM 80 ribu atau RM 90 ribu dari bank bergantung kepada kemampuan beliau. 

Kesimpulannya, inisiatif ini telah memudahkan seseorang untuk memiliki rumah ketiga, keempat, kelima dan seterusnya. Namun adakah persoalannya adakah inisiatif ini akan membantu kebanyakan rakyat atau hanya segelintir? 

Adakah inisiatif ini akan meningkatkat harga rumah di pasaran? Adakah inisiatif ini akan menyukarkan ramai yang masih belum memiliki rumah untuk membeli rumah pada masa depan? 

Walaupun inisiatif ini mampu menjana pendapatan negara terutamanya pada waktu pandemik Covid-19, namun terdapat banyak masalah berkaitan dengan isu perumahan yang dihadapi rakyat ketika ini seperti untuk membayar sewa. 

Ramai antara kita yang harus pulang ke kampung kerana tidak mampu untuk membayar sewa akibat diberhentikan kerja atau telah diberikan cuti tanpa gaji. Pertolongan untuk golongan-golongan ini harus diberi perhatian. 

Subsidi atau bantuan untuk membayar sewa seharusnya diberikan kepada golongan ini buat sementara waktu untuk membantu mereka terutamanya golongan yang mempunyai keluarga kerana perumahan merupakan keperluan asas rakyat yang penting. – 7 Jun, 2020.

*Sophie Shakur, pembaca The Malaysian Insight 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen