Sindiket jual keputusan ujian Covid-19 palsu RM50


Kalidevi Mogan Kumarappa

Polis menumpaskan sindiket pemalsuan ujian Covid-19 dengan tertangkapnya dua lelaki warga asing semalam. – Gambar ehsan PDRM, 7 Jun, 2020.

SATU sindiket pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19 untuk warga asing ditumpaskan polis Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata sindiket yang beroperasi di kaunter kaki lima di Jalan Alor itu mengeluarkan keputusan ujian palsu kepada warga asing.

Katanya, keputusan ujian yang dijual dengan harga RM50 setiap satu itu merupakan dokumen palsu dengan kepala surat sebuah syarikat ujian makmal.

Sindiket didalangi warga tempatan itu tumpas dengan penahanan dua suspek lelaki warga Bangladesh dalam serbuan kira-kira jam 5.40 petang semalam di lokasi tersebut, katanya.

“Kaunter itu sudah beroperasi antara satu hingga dua minggu dengan setiap satu dokumen keputusan negatif ujian saringan Covid-19 dikenakan bayaran RM50.

“Dengan berbekalkan komputer riba dan pencetak, mereka menjalankan perniagaan ini bermula 12 tengah hari sehingga 9 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sasaran pelanggan adalah terdiri daripada warga asing dan dua suspek itu digajikan lelaki tempatan dengan gaji RM1,500 dan RM1,700 sebulan.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen.

“Kami turut merampas dua unit komputer riba, tiga unit mesin pencetak, dua unit mesin laminator dan dua helai kertas keputusan ujian saringan Covid-19.

“Sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang terdapat cetakan laporan ujian saringan Covid-19 yang disyaki palsu, sehelai kertas berkepala surat LabLink Medical Laboratory yang kosong dan wang tunai RM1,331 turut dirampas sebagai bahan bukti,” katanya.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan hanya mengutamakan keuntungan itu membahayakan orang ramai dan menjejaskan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Mazlan juga menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kes seperti itu kepada hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi balai berdekatan. – 7 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen