LAPANGAN Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali dibuka semula hari ini selepas hampir tiga hari ditutup berikutan asap dan debu Gunung Agung di pulau peranginan itu beralih arah.
Bagaimanapun, pegawai mengingatkan yang lapangan terbang boleh ditutup semula sekiranya berlaku perubahan arah angin sekali lagi dan membahayakan penerbangan.
“Kami akan sentiasa memantau keadaan di lapangan,” kata jurucakap Lapangan Terbang Ngurah Rai, Arie Ahsanurrohim.
Syarikat penerbangan Garuda berkata ia akan memulakan penerbangan ke beberapa bandar di seluruh negara kepulauan besar pada petang ini, sementara AirAsia bersedia membuat penerbangan ke Kuala Lumpur.
Semua penerbangan antarabangsa yang lain juga telah bersedia.
Para pegawai memberi amaran Gunung Agung boleh menghasilkan letusan besar pada bila-bila masa.
Beribu-ribu penduduk telah meninggalkan kediaman masing-masing yang terletak di sekitar gunung itu - yang kali terakhir meletus pada 1963, membunuh kira-kira 1,600 orang - tetapi dianggarkan seramai 100,000 orang mungkin akan dipaksa meninggalkan kediaman sekiranya berlaku letusan penuh, kata pegawai agensi bencana. – AFP, 29 November, 2017.
Komen