100 hari Muhyiddin melawan Covid-19 dan kelembapan ekonomi


Ragananthini Vethasalam

Pentadbiran Muhyiddin Yassin berdepan ujian getir apabila terpaksa berdepan wabak Covid-19 yang melemahkan ekonomi negara selepas berjaya menumbangkan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun, 2020.

SEPANJANG seratus hari memegang jawatan utama negara, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat berjaya mengawal pandemik Covid-19 yang mengakibatkan ekonomi semakin merosot, kata pemerhati dan ahli ekonomi.

Situasi itu nampaknya berjaya menaikkan profil peribadi Muhyiddin di kalangan pengundi, bagaimanapun, kilauan populariti turut disulam kritikan ekoran gerakan politik partinya, Bersatu yang berterusan terpaksa berdepan krisis demi krisis bagi kelangsungan pentadbiran yang hanya memiliki majoriti tipis.

Walaupun pentadbiran di bawah Muhyiddin seakan memiliki hala tuju dalam tindakan bagi menangani Covid-19 di tengah ketidaktentuan ekonomi dan kebimbangan terhadap koronavirus, langkah-langkah kerajaan setakat dilihat kurang jelas terutama berhubung usaha pemulihan ekonomi jangka panjang dan bagaimana defisit dapat diatasi setelah perbelanjaan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan ekonomi.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan ketika wabak Covid-19 menyerang negara ini dan menjadi cabaran pertama yang PN perlu hadapi sebaik sahaja berkuasa.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac dan pada bulan yang sama, jangkitan baharu di Malaysia meningkat kepada tiga digit di samping kematian yang mulai meningkat, sehingga penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumum untuk dilaksanakan pada 18 Mac.

PKP turut menyaksikan penguncupan ekonomi, Putrajaya menganggarkan kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari apabila perniagaan ditutup. Kementerian Kewangan mengunjurkan Produk Domestik Kasar jatuh -2% tahun ini disebabkan PKP, sementara Bank Negara Malaysia meramalkan penurunan sekurang-kurang -2% atau pertumbuhan hingga 0.5% pada tahap terbaik.

Ahli ekonomi mengatakan bahawa pentadbiran PN setakat ini dapat menguruskan ekonomi dengan baik susulan komitmen besar yang diberikan barisan hadapan dan perkhidmatan awam.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Muhyiddin menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan ketika wabak Covid-19 menyerang negara ini dan menjadi cabaran pertama yang PN perlu hadapi sebaik sahaja berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun 2020.

Felo Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata, Muhyiddin menangani krisis kesihatan dengan baik dan telah dapat memberikan rasa jaminan dan kestabilan, seperti yang tercermin dalam pakej rangsangan tambahan yang diumumkan bagi melengkapkan pakej ekonomi Prihatin bernilai RM250 bilion.

“Walaupun pakej kedua tidak memiliki tindakan yang memadai untuk mendukung PKS, pakej ketiga berusaha untuk memperbaiki keadaan ini. Lebih banyak yang dapat dilakukan bagi menyokong sektor pekerjaan, terutama bagi mereka yang berada dalam golongan B40 yang tidak memegang jawatan kerajaan,” kata Shankaran kepada The Malaysian Insight.

Apa yang kurang, kata beliau, ialah kejelasan tentang bagaimana ruang fiskal dan defisit dapat diuruskan.

“Seseorang mungkin berharap ada hala tuju yang lebih jelas tentang bagaimana ruang fiskal dan defisit akan dikendalikan namun jawapan yang kukuh tidak disebut bahawa akan ada peruntukan dana dalam ekosistem,” katanya.

Shankaran juga berkata bahawa kerajaan harus menjelaskan rancangan pemulihan ekonominya untuk jangka panjang.

Kerajaan juga boleh menangguhkan semua projek infrastruktur mega, dan menunda projek tersebut ke tahun 2021.

“Sebaliknya, pemerintah nampak goyah untuk meneruskan projek 5G, menunjukkan bahawa beberapa dasar tidak difikirkan dengan baik,” tambahnya.

Rakyat Malaysia kini sedang bertatih menyesuaikan diri dengan kelaziman baharu ketika wabak Covid-19 masih mengganas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Jun 2020.

Pengarah eksekutif di Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie mengatakan bahawa pakej Perihatin adalah fokus utama krisis, sambil menambah bahawa PN telah menguruskan tugas penting untuk mengurus Covid-19 dan meratakan lengkung jangkitan Covid-19 dengan baik.

“Saya rasa hampir 95% Prihatin telah dilaksanakan dan sangat bagus apabila Kementerian Kewangan memberikan kemas kini mingguan mengenai inisiatif dan laporan kemajuan,” kata Lee, sambil menambah bahawa PN tidak memiliki manifesto untuk memantau gerak kerja pentadbirannya.

Lee menyatakan bahawa satu keputusan yang lambat diambil pembentangan yang lebih cepat berhubung RUU Tindakan Sementara Covid-19, yang telah diperkenalkan oleh negara-negara lain dengan lebih cepat.

Sebaliknya, kerajaan Muhyiddin menghadkan mesyuarat pertama Parlimen untuk tahun ini pada 18 Mei kepada sidang selama dua jam hanya untuk Titah Diraja.

Rang undang-undang bagi melindungi pelanggaran kontrak untuk jangka masa sekarang akan dibentangkan dalam sidang Julai, umum perdana menteri ketika melancarkan rancangan pemulihan ekonomi jangka pendek negara itu atau ‘Penjana’ semalam (5 Jun).

Penganalisis politik bebas, Khoo Kay Peng berkata, walaupun kerajaan  telah melaksanakan kawalan pergerakan dan penjarakan sosial dengan baik, namun hal itu tidak cukup bagi kesejahteraan rakyat dan ekonomi.

“Bantuan Prihatin Nasional dan Geran Khas Prihatin tidak akan dapat membantu perniagaan B40, M40 dan kecil yang menghadapi badai kewangan,” katanya, merujuk pemberian wang tunai dan suntikan tunai.

“Kerajaan nampaknya tidak berada di barisan depan dalam menangani masalah tersebut. Tidak ada sesi parlimen untuk membincangkan pandemik dan implikasinya sangat mengecewakan,” tambah beliau lagi.

Khoo berkata PN perlu menghadapi cabaran pengesahan kerajaan dan harus berhubung dengan semua pembuat dasar untuk menangani wabak itu dari sudut kesihatan dan ekonomi.

“Kehilangan pekerjaan harus ditangani. Ini adalah kerajaan yang terganggu kerana banyak berpolitik.” katanya. – 6 Jun 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen