Masih dalam fasa pemulihan, belum ada strategi keluar, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Anggota polis dan askar melakukan pemeriksaan kenderaan sepanjang pelaksanaan PKP di seluruh negara bagi membendung Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Jun, 2020.

PUTRAJAYA akan terus memantau dan melaksanakan langkah bagi mengekang penularan Covid-19 ketika lebih banyak sektor akan dibuka pada minggu depan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan terus dikuatkuasakan.

“Kita masih belum bersedia untuk strategi keluar. Kita masih melaksanakan Akta 342 dan ia akan digunakan untuk memantau ketika kita membuka lebih banyak sektor.

“Kita kini berada di fasa pemulihan. Pada fasa ini, amat penting menggunakan akta ini untuk pemantauan.

“Kita sudah mendapatkan khidmat polis, tentera, Rela dan pelbagai agensi untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menguatkuasakan Akta 342,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata jika berlaku peningkatan kes secara mendadak, KKM akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Separa Diperketatkan di lokasi yang terjejas.

“Kita akan menutup kawasan tersebut dan melakukan ujian saringan bagi penduduk yang terlibat sama ada penduduk tempatan atau warga asing.

“Jika ada kes positif, kita akan mengasingkan mereka dan kontak rapat akan dikuarantin.”

Katanya kawalan sempadan masih dilaksanakan dan rakyat Malaysia tidak digalakkan ke luar negara. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen