Ahli Parlimen bekas PKR ikrar sokong Perikatan


Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang menyerahkan surat aku janji untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin Yassin. – Gambar Facebook Bersatu, 6 Jun, 2020.

SELEPAS keluar PKR, Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang menyatakan sokongnya kepada Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana.

Bersatu dalam satu kenyataan ringkas di Facebook berkata Jugah berjanji kepada Muhyiddin untuk memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam pertemuan itu, Menteri Kanan Azmin Ali dan Timbalan Menteri Sumber dan Tenaga Asli Ali Anak Biju juga hadir.

Jugah mengadakan satu pertemuan berasingan dengan kedua-dua bekas pemimpin PKR itu sebelum mereka bertiga bertemu Muhyiddin.

Bekas Naib Presiden PKR Sarawak itu mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti dan berkhidmat sebagai ahli Parlimen bebas semalam.

“Saya mengumumkan keluar PKR untuk menjadi ahli Parlimen bebas bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Juga bertanding sebagai parti bebas dan menyertai PKR selepas menang di Lubok Antu.

Sebagai kawasan luar bandar, beliau berkata Lubok Antu memerlukan sokongan dan bantuan kerajaan pemerintah.

“Saya telah berbincang dengan penyokong dan mereka bersetuju saya perlu menyokong Perikatan Nasional.

“Demi pembangunan dan keamanan Lubok Antu, saya menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan negeri yang dipimpin GPS di bawah Ketua Menteri Abang Johari Openg,” katanya.

Tindakan Jugah keluar Pakatan Harapan berlaku ketika spekulasi mengatakan gabungan pembangkang itu sedang mengumpulkan lebih ramai sokongan Ahli Parlimen bagi merampas semula Putrajaya dari Perikatan Nasional.

Ada juga spekulasi mengatakan akan berlakunya pilihan raya mengejut yang dijangka memberi kemenangan tipis kepada kerajaan Perikatan Nasional dengan 114 daripada 222 kerusi ahli Parlimen.

Kelmarin, Shaharuddin Md Salleh meletak jawatan sebagai timbalan menteri selepas kecewa dengan tindakan Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama Umno, PAS dan GPS. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen