KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg akan bertemu Perdana Menteri Najib Razak bagi membincangkan beberapa isu yang tidak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).
Bagaimanapun, Abang Johari tidak pula menyebut bila perbincangan itu akan diadakan tetapi dalam masa sama beliau menyindir jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Syukri dan Menteri Luar Anifah Aman dalam “jawatankuasa teknikal yang merendahkan kuasa” itu sebagai tidak mempunyai kuasa.
Beliau berkata, Nancy yang juga rakyat Sarawak dan Anifah, rakyat Sabah, tidak layak untuk berbincang mengenai keluhan Sarawak dengan kerajaan persekutuan.
Jawatankuasa ditubuhkan Putrajaya itu bertujuan untuk menyelesai dan memberi kata putus supaya kerajaan persekutuan dapat mengembalikan semula hak dua negeri Borneo itu yang telah terhakis sejak penubuhan Malaysia lima dekad lalu.
Pada 9 November, status jawatankuasa itu menjadi persoalan apabila Sarawak menubuhkan “pasukan petugas khas peringkat tinggi” untuk mengambil alih rundingan dengan kerajaan persekutuan itu.
Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas yang membentangkan usul pasukan petugas itu berkata, ia adalah untuk “menyelesaikan semua isu tertunggak yang berkaitan dengan pematuhan dan penegakan hak istimewa dan perlindungan Perlembagaan yang diberikan kepada Sarawak mengikut niat, terma dan semangat MA63.”
Usul itu diterima sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.
“Saya akan berbincang dengan perdana menteri dan akan umumkan nanti,” kata Abang Johari kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak-Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak di Kuching.
Tambahnya, kuasa pasukan petugas itu “sedikit tinggi” dan ia “akan melibatkan perbincangan mengenai perlembagaan,” bagaimanapun beliau tidak menerangkan lebih lanjut. – 29 November, 2017.
Komen