SPRM akan lapor polis kes tuduhan pegawai Syed Saddiq


SPRM dalam satu kenyataan menafikan tuduhan Siti Nurul Hidayah yang mendakwa diugut, diherdik dan dipaksa memberi keterangan semasa siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

AGENSI antirasuah akan membuat laporan polis ke atas seorang setiausaha Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa diugut, diherdik dan dipaksa memberi keterangan semasa siasatan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menafikan tuduhan tersebut yang dibuat setiausaha kehormat Youth Power Club Siti Nurul Hidayah.

SPRM berkata tuduhan Siti Nurul Hidayah diugut dan dikerumuni sehingga lima pegawai lelaki adalah “rekaan semata-mata”.

“Sebaliknya sepanjang proses rakaman pernyataan dibuat beliau ditemani oleh dua pegawai wanita pada sepanjang masa.

“Kehadiran beliau secara sukarela sebagai antara saksi utama yang memberikan keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes ini,” menurut kenyataan itu.

Siti Nurul Hidayah merupakan saksi dan siasatan kes kehilangan wang RM250,000 dari rumah menteri itu.

Dalam kenyataannya semasa sidang media semalam, wanita itu mendakwa pegawai SPRM mengeluarkan kata-kata kesat selain mengugut untuk menampar mukanya.

Siti juga berkata pegawai SPRM memintanya berdiri sambil mengangkat sebelah kaki dan kedua-dua tangannya selama 30 minit.

Pegawai bekas menteri belia dan sukan itu menceritakan pengalaman yang dilaluinya pada sidang media di Putrajaya petang tadi.

Menurut Siti, beliau ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi semalam selepas diminta hadir untuk membantu siasatan kes kehilangan wang Syed Saddiq.

“Siasatan saya dimulakan pada 11 pagi. Seorang penguasa lelaki dan seorang penguasa wanita masuk ke dalam bilik siasatan dan duduk berhadapan saya.

“Mereka telah mengambil telefon bimbit saya, menengking dan membaling telefon bimbit ke arah saya.”

Siti berkata beliau kemudian dibawa ke sebuah bilik kosong oleh dua pegawai wanita untuk diperiksa seluruh badan.

Tambahnya, sebaik sahaja dibawa semula ke bilik siasatan Siti mendapati enam pegawai lelaki sedang menunggu.

“Mereka mengherdik saya dengan kata-kata kesat seperti ‘*’ dan ‘bodoh’. Mereka juga berkata kepada saya yang saya layak hidup sebatang kara, disisihkan oleh keluarga semata-mata tidak berpuas hati dengan jawapan saya.

“Salah seorang daripada mereka mengugut untuk menampar saya. Tangan beliau betul-betul kurang sejengkal dari muka saya,” kata Siti semasa membacakan laporan polis yang dibuatnya terhadap SPRM.

Menurut Siti lagi, lima belas minit kemudian seorang pegawai lelaki masuk ke bilik siasatan dan menyepak kuat kerusinya.

“Mereka meminta saya berdiri dalam 30 minit dengan mengangkat sebelah kaki dan kedua-dua tangan saya ke atas.

“Jika penat boleh tukar kaki sebelum sambung kenyataan saya,” katanya sambil menambah telah dipanggil sebanyak tiga kali untuk beri keterangan sejak bulan lalu.

Siti juga mendakwa beliau tidak dibenarkan bercakap dengan peguamnya yang sedang menunggu di lobi ibu pejabat SPRM.

“Saya percaya saya hadir bagi membantu siasatan sebagai saksi, bukan suspek.” – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen