Polis tambah sekatan jalan raya cegah pemandu mabuk


Kalidevi Mogan Kumarappa Alfian Z.M. Tahir

Polis akan melakukan pemeriksaan di kawasan serta laluan berhampiran premis yang menyediakan minuman keras. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

POLIS akan mengadakan sekatan jalan raya berhampiran kawasan bar dan kelab malam dalam usaha menggandakan penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias berkata polis akan melakukan pemeriksaan di kawasan serta laluan berhampiran premis yang menyediakan minuman keras.

“Op mabuk akan diteruskan di seluruh negara. Langkah ini bagi membolehkan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan iaitu tidak memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak berlakunya kemalangan hingga meragut nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Azisman operasi itu diadakan susulan peningkatan jumlah kes pemandu mabuk.

Angka membimbangkan

Seramai 822 individu di seluruh negara ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dengan 1,213 pemandu disaring menerusi 278 operasi di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei lalu.

“Bagi tahun lalu pula, sebanyak 933 Op Mabuk dilakukan dengan 2,454 individu disaring. Daripada jumlah itu, seramai 1,581 individu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.

Azisman berkata sembilan maut dalam kemalangan jalan raya berpunca daripada pemandu mabuk bagi tempoh 2018 hingga Mei tahun ini.

“Daripada 70 kemalangan direkodkan, 29 individu disahkan meninggal dunia, manakala 41 lagi dilaporkan cedera sepanjang tempoh itu.

“Berdasarkan kemalangan itu juga, kami melakukan 70 tangkapan dengan 20 kes masih dalam siasatan dan selebihnya pula sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Azisman berkata tindakan keras serta kompaun juga akan dikenakan terhadap individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador semalam berkata hukuman penjara mandatori akan mencegah pemanduan dalam keadaan mabuk.

“Hukuman penjara mandatori – akan mencegah mereka,” kata Hamid.

PAS juga menggesa kerajaan menanggantung semua pengeluaran, perniagaan dan jualan minuman beralkohol.

Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad berkata parti itu melihat secara serius terhadap peningkatan kes kemalangan maut yang berpunca daripada pemandu mabuk..

“Tragedi membabitkan pemandu mabuk tidak boleh dipandang ringan. Kesilapan itu kerana kelemahan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaan, selain sikap penting diri dan kedegilan mereka yang mabuk,” katanya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengumumkan ia akan membekukan semua permohonan baharu untuk lesen minuman keras. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen