Program subsidi upah dilanjut 3 bulan lagi


Noel Achariam Sheridan Mahavera

Program Sbsidi Upah telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

PROGRAM subsidi upah akan dilanjutkan untuk tiga bulan lagi dengan dana tambahan RM5 bilion, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Program itu diperkenalkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Prihatin PKS Tambahan bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19 itu disambut baik oleh golongan pekerja dan majikan, tambah beliau.

“Program ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi membantu syarikat dalam tempoh pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan melanjutkan Program Subsidi Upah ini selama tiga bulan lagi,” katanya semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen hari ini.

Tambah Muhyiddin, subsidi upah itu ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja dengan setiap syarikat ditetapkan had maksimum 200 orang pekerja.

“Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor yang tersenarai dalam aktiviti ekonomi yang dilarang sepanjang tempoh PKPB, serta telah diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja tersebut menerima bayaran subsidi secara langsung.” – 5 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.        


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen