Putrajaya umum baucar e-dompet, pengecualian cukai pembelian kereta baharu


Noel Achariam Sheridan Mahavera

Bagi menggalakkan pengunaan e-dagang dalam kalangan peniaga tempatan dan kaedah pembayaran tanpa sentuh , kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna, umum perdana menteri hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

PUTRAJAYA hari ini mengumumkan beberapa insentif antaranya baucar e-dompet, pengecualian cukai bagi pembelian kereta baharu dan memperkenalkan semula Kempen Pemilikan Rumah untuk menggalakkan perbelanjaan dalam negara yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Insentif adalah sebahagian daripada skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Pakej rangsangan ekonomi RM35 bilion tersebut untuk menjana semula ekonomi yang terjejas ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

Bagi menggalakkan pengunaan e-dagang dalam kalangan peniaga tempatan dan kaedah pembayaran tanpa sentuh (contactless payment), kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

“Ini akan dipadankan dengan tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet,” kata Muhyiddin secara langsung menerusi radio dan televisyen hari ini.

“Inisiatif ini yang akan bermula pada Julai 2020 akan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia,” kata perdana menteri sambil menambah skim tersebut merupakan sebahagian daripada program e-Penjana bernilai RM750 juta.

Baucar e-dompet akan diberi kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun.

Untuk merancakkan semula pasaran hartanah, pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta, kata Muhyiddin.

Pengecualian duti setem ke atas 14 surat cara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

Tambah beliau, pengecualian akan berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada dua syarat iaitu:

1. Pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10% oleh pihak pemaju; dan

2. Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021. 

Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.

Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600 ribu ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah, semasa
tempoh program Kempen Pemilihan Rumah, tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.

“Bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif negara, kerajaan bersetuju memberi pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan, dan 50 peratus bagi kereta penumpang yang diimport bagi tempoh mulai 15 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020,” kata Muhyiddin. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen