Siasatan dalaman dedah penyelewengan dalam PUNB


The Malaysian Insight

Pada pertengahan 2018 SPRM menyiasat bekas pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah PUNB yang disyaki salah guna kuasa dan menyeleweng dalam beberapa perolehan syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Jun, 2020.

BEKAS pengurusan kanan dan ahli lembaga pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dalam beberapa perolehan syarikat, melibatkan kontrak, pinjaman serta jual beli hartanah yang keseluruhannya bernilai lebih RM10 juta ringgit.

Kontrak itu melibatkan antaranya pembelian 20,000 naskhah buku berjumlah RM400,000 mengenai Najib Razak. Kes itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pertengahan 2018.

Laporan siasatan dalaman yang dilihat oleh The Malaysian Insight mendedahkan pembelian buku itu tidak mematuhi proses dan tatacara perolehan, sementara penerbitnya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli lembaga pengarah PUNB.

“Laporan itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Siasatan oleh sebuah firma perakaunan itu dijalankan sejak hujung Oktober 2018, selepas peralihan kepimpinan PUNB, dan laporannya siap pada Julai 2019.

Pada September 2018, Hazimah Zainuddin dilantik pengerusi PUNB menggantikan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam yang letak jawatan pada akhir Jun, tiga bulan sebelum.

Mohd Ali, yang menerajui PUNB sejak 1 Ogos 2013, letak jawatan bersama dua ahli lembaga pengarah, Jamelah A Bakar dan Hasbullah Wa Daud.

Sementara itu, SPRM yang dihubungi mengesahkan siasatan kes pembelian buku itu masih dibuka.

“Kami menunggu arahan lanjut sama ada kes ini akan didakwa atau tidak,” kata sumber agensi anti rasuah.

Pada Mei 2018, agensi anti rasuah menyerbu ibu pejabat PUNB di Kuala Lumpur berhubung projek penerbitan sebuah buku mengenai Najib Razak yang dipercayai melihatkan salah guna kuasa.

Laporan siasatan dalaman yang dilihat oleh The Malaysian Insight turut menyebut tiada rekod jelas yang menunjukkan penerbit telah menyerahkan kesemua 20,000 nashkah buku berkenaan kepada PUNB. 

Malah ada pula bukti yang menunjukkan lebih kurang 1,000 naskhah buku diarah dilupuskan oleh pegawai atasan PUNB tanpa alasan yang jelas.

Dalam pada itu, PUNB juga didapati memberikan pinjaman sebanyak RM300,000 kepada syarikat penerbit buku itu tanpa melalui proses kelulusan yang sah.

Selain perolehan buku mengenai Najib, siasatan dalaman juga mendedahkan urusan jual beli hartanah serta pembangunan hartanah melalui sebuah anak syarikat yang ditubuhkan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan dan Yayasan Pembangunan Bumiputera (YPB).

Siasatan dalaman itu turut mendedahkan PUNB mengeluarkan kontrak pengurusan projek ubah suai 12 pejabat cawangannya di seluruh Malaysia kepada sebuah firma arkitek tanpa melalui proses yang wajar. 

PUNB ialah sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 1991 bertujuan melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera. 

Ia menyediakan pelbagai program latihan dan rundingan keusahawanan serta  skim pinjaman kepada usahawan Bumiputera, kecil dan sederhana.

Sebelum menerajui PUNB, Hazimah, pengasas sebuah syarikat pengedar alat ganti automotif, adalah seorang usahawan yang disegani dan terlibat dalam beberapa badan penasihat keusahawanan serta majlis perniagaan di Malaysia. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen