Pakatan perlu wacana Melayu baharu untuk menang PRU15, kata penganalisis


Sheridan Mahavera

Kegagalan Pakatan Harapan membincangkan naratif identiti Melayu pasca PRU14 menyebabkan Umno dan PAS kembali berpengaruh.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

WALAUPUN Pakatan Harapan menolak politik berasaskan kaum, ia perlu tampil dengan visi alternatif identiti Melayu sekiranya mahu meraih sokongan mencukupi kaum itu untuk kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15, kata penganalisis.

Kekurangan visi alternatif identiti Melayu sekarang membolehkan Umno dan PAS terus menguasai pengundi Melayu yang menjadi semakin konservatif selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kata penganalisis pada seminar web anjuran S Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura.

Berbanding dahulu apabila kebanyakan kelompok konservatif adalah orang Melayu pedalaman, selepas PRU14, lebih ramai orang Melayu bandar yang berpendidikan tinggi dan penutur Bahasa Inggeris yang berubah menjadi konservatif, kata pakar.

Pemimpin Melayu dalam PH perlu memperjuangkan visi baharu identiti Melayu yang boleh diterima masyarakat pelbagai kaum Malaysia sekiranya kerjasama politik itu mahu membina dan melawan konservatisme dan meraih sokongan kaum terbesar negara itu.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Umno dan PAS terus mendominasi wacana orang Melayu dengan idea masa depan mereka hanya akan terjamin sekiranya Umno berkuasa.

Idea tersebut setakat ini masih belum dicabar pemimpin Melayu PH, kata pakar sejarah Prof Hamidin Abd Hamid dari Universiti Malaya.

“Bila kami buat kajian kami dapati yang orang Melayu sudah bersedia bergerak ke depan iaitu identiti Melayu pasca Umno,” kata Hamidin yang juga merupakan felo penyelidik Ilham Centre.

“Inilah cabaran yang PH gagal teruk. Iaitu untuk membentuk struktur jelas, naratif jelas tentang apa maksudnya menjadi orang Melayu dalam kerajaan baharu,” katanya pada seminar web bertajuk “Umno di persimpangan: Implikasi ke atas politik Malaysia.”

“Ini yang tiada. Mana-mana parti yang boleh memaknakan (identiti baharu Melayu) akan meraih sokongan kuat orang Melayu,” tambahnya.

Hamidin berkata PH sudah memulakan wacana ini dalam kalangan orang Melayu ketika kempen PRU14 untuk memecahkan kubu kuat Umno dan PAS. 

“Kajian kami pada 2018 di kawasan pedalaman sentiasa mengandaikan yang kadar perubahan berlaku dengan perlahan, tetapi kajian mendapati wujud keterbukaan untuk membincangkan pembaharuan, dan ini sesuatu yang mengejutkan.

“Tetapi, ia terhenti selepas PRU14. PH tidak dapat memutuskan sama ada mereka mahu atau tidak mahu berbincang tentang dasar Melayu.

“Rugi sekali kerana ia adalah peluang terbesar untuk mencipta identiti baharu Melayu untuk masa depan.

“Dalam 22 bulan ketika ia berkuasa, tidak ada satu seminar pun dianjur kerajaan untuk membincangkan kedudukan Melayu. Mereka tak guna saluran komunikasi untuk cabar (naratif) Umno dan PAS.”

Sedangkan, kata Hamidin lagi, kajian dalam kalangan orang Melayu ketika pentadbiran PH menunjukkan wujud desakan kuat komuniti kepada pemerintah dan pemimpin Melayu untuk menangani isu itu.

Ketika PH bertegas mahu menggunakan pendekatan buta kaum dalam politik, Umno dan PAS “bebas” menyuntik idea perpecahan dalam masyarakat.

“Tiada parti boleh abaikan tuntutan orang Melayu dan awak boleh lihat bagaimana Umno dan PAS boleh menang sehingga 90% sokongan Melayu dalam pilihan raya kecil selepas PRU14 hanya menggunakan retorik Melayu mereka.”

Kekurangan naratif Melayu dalam PH juga menggemburkan sikap konservatif dalam kalangan orang Melayu penutur Bahasa Inggeris dan kumpulan profesional korporat, kata Hamidin lagi.

Seorang lagi ahli panel, penganalisis politik Mazri Muhammad, berkata kemunculan konservatisme baharu dalam profesional Melayu pasca PRU14 terserlah dalam kempen “Buy Muslim First” dan perbincangan dunia siber berkaitan isu pemandu mabuk.

“Debat itu beralih kepada perspektif berbeza. Ramai orang terlepas pandang,” kata Mazri yang merupakan pegawai khas Najib Razak pada 2009 sehingga 2013.

“Selepas kemelut PH dan isu DAP, Umno menggunakan isu ini dan menerima faedahnya (sokongan Melayu),” katanya. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen