170 juruterbang AirAsia dijangka hilang kerja, kata sumber


AirAsia antara syarikat penerbangan teruk terjejas kerana wabak Covid-19 dan sekatan perjalanan dibuat di seluruh dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

HAMPIR 170 juruterbang dan lebih 100 anak kapal dijangka hilang kerja dalam penstrukturan terbaru dalam Kumpulan AirAsia Bhd (AAGB), kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber berkata pekerja dalam anak syarikat asing kumpulan itu berkemungkinan dibuang terlebih dahulu sebelum pembuangan pekerja tempatan dilakukan dalam langkah penstrukturan semula syarikat.

Sumber turut mendedahkan sesi townhall yang berlangsung sejak pagi tadi dan sesi bersama juruterbang juga diadakan awal hari ini.

Pekerja lain akan dimaklumkan mengenai langkah penstrukturan itu menerusi email yang akan dihantar hari ini dan esok, kata sumber lagi.

Secara keseluruhannya, hampir 3,000 pekerja daripada unit penerbangan tempatan dan luar negara dijangka hilang kerja. Taklimat kepada kumpulan berkenaan juga dijangka berlaku hari ini.

“Banyak pembuangan dijangka berlaku daripada AirAsia X,” kata sumber merujuk kepada cabang penerbangan jarak jauh gergasi penerbangan tambang murah dunia itu.

Akhbar perniagaan, Focus Malaysia, sebelum ini melaporkan yang AAGB akan membuang pekerja dalam usaha penstrukturan semula syarikat yang terjejas teruk kerana wabak Covid-19.

Laporan memetik pekeliling dalaman itu berkata, wabak Covid-19 dan sekatan perjalanan memaksa syarikat membuat “perubahan asas” kepada organisasi dan struktur tenaga kerjanya, termasuk jumlah pekerja.

Langkah serta merta yang perlu dilaksanakan termasuklah “berpisah” dengan “sejumlah rakan sekerja kita dari seluruh kumpulan”, kata pekeliling itu.

AAGB melaporkan kerugian sejumlah RM303.72 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding keuntungan RM1.97 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Akhbar The Star pula melaporkan AAGB sedang dalam perbincangan menjual 10% kepentingannya kepada gergasi korporat ketiga terbesar Korea Selatan, SK Corp , dengan penetapan harga saham persendirian sebanyak RM1 seunit.

Perjanjian itu boleh membawa pendapatan sebanyak RM334.2 juta kepada kumpulan penerbangan itu. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen