SIDANG Kemuncak Kesatuan Eropah (EU)-China, yang dijadual pada 14 September di Leipzig, Jerman ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19, lapor agensi berita Sputnik.
Perkara itu dipersetujui hasil perbincangan menerusi telefon antara Canselor Jerman Angela Merkel dengan Presiden Xi Jinping dan Presiden Majlis Eropah Charles Michel.
“Sidang kemuncak EU-China dijadual pada 14 September 2020 di Leipzig dan kedua-dua pemimpin bersetuju ia tidak dapat diadakan kerana Covid-19, tetapi akan diadakan kemudian,” kata jurucakap kerajaan Jerman Steffen Seibert.
Beliau berkata perincian lanjut mengenai sidang kemuncak itu akan dipersetujui dalam masa terdekat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac.
Menurut WHO, jumlah korban di seluruh dunia sudah melebihi 379,000 orang, dengan jumlah kes melepasi 6.2 juta. – Bernama, 4 Jun, 2020.
Komen