HAMPIR tiga bulan duduk di rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai pencinta durian di Malaysia kini beralih minat kepada isi buahnya yang disejuk beku, yang kebiasaannya untuk dieksport ke China.
Pesanan untuk isi durian sejuk beku melalui penghantaran ke rumah semasa PKP naik mendadak, ditambah pula bulan Mei bermulanya musim raja buah itu.
Pengarah Urusan Top Fruits Sdn Bhd Tan Sue Sian memberitahu The Malaysian Insight, beliau terkejut melihat peminat durian di Malaysia beralih kepada isi sejuk beku kerana kebiasaannya mereka lebih gemar menikmati isi durian dari buah yang dikopek sendiri.
“Saya rasa pembeli tiada pilihan selain isi sejuk beku dan saya terkejut sebab mereka menyukainya.
“Kami ada menerima beberapa aduan tetapi biasanya mengenai cara melembutkan isi durian yang tidak betul,” kata Tan.
Cabaran dalam sistem penghantaran durian Musang King membabitkan isu logistik akibat sekatan merentas negeri di bawah PKP, tambah beliau.
Buat masa ini, durian yang dikutip pada waktu pagi dan dihantar ke kilang-kilang di Kuala Lumpur untuk diproses, sebelum dihantar ke rumah pelanggan pada waktu petang.
Menurut Tan, syarikatnya menerima pesanan yang banyak sehingga terpaksa mengehadkan kepada 100 pesanan sahaja sehari untuk mengekalkan kualiti produk.
“Buat masa ini kami jual ikut harga pasaran, sekitar RM60 hinggan RM65 sekilo. Ini kerana musim durian baru bermula dan harganya tinggi sedikit.
“Kami juga menghantar durian menggunakan motosikal kepada pelanggan di Lembah Klang dan setiap kotak membawa kira-kira 300kg isi durian sejuk beku.
Kebiasaannya pelanggan memesan sama ada isi sahaja atau buah yang belum dikopek. – 4 Jun, 2020.
Komen