Peniaga kedai runcit untung besar semasa PKP


Angie Tan

Hasil jualan peniagaan kedai runcit meningkat sekitar 50% hingga 60% sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac apabila orang ramai cenderung untuk membeli-belah di situ. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

KEDAI runcit dan kedai di kawasan kejiranan mendapat manfaat yang tidak dijangka semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pemilik kedai runcit memberitahu The Malaysian Insight bahawa hasil jualan mereka meningkat sekitar 50% hingga 60% sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac dan mereka berharap perniagaan tetap baik walaupun sekatan ditamatkan.

Penjual barangan di kawasan kejiranan lebih disukai oleh pembeli yang mahu mengelak beratur panjang dan had jumlah pembeli kerana jarak sosial di pasar raya.

Di kedai sebegini, walaupun perlu beratur dan mematuhi jarak sosial, jumlah lebih kecil serta pilihan barangan runcit tempatan terhad berbanding di pasar raya menyebabkan pembeli dapat keluar masuk dalam masa lebih singkat.

Pengerusi Persatuan Peruncit Penyediaan dan Pelbagai Barang Klang Tan Teck Hock berkata perniagaan menunjukkan penurunan keseluruhan sebanyak 10% sejak 4 Mei apabila perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan dengan lebih banyak kelonggaran dibuat.

Namun beliau percaya perniagaan akan tetap baik walaupun PKPB ditamatkan kerana pengguna masih bimbang untuk membeli-belah di tempat yang sesak.

“Akan ada sebilangan yang tidak mahu mengambil risiko pergi ke pasar raya kerana ramai orang dan mereka memilih untuk ke kedai lain,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Runcit Malaysia Hong Chee Meng menjangkakan orang ramai akan menerapkan amalan norma baharu untuk tinggal di rumah dan mengelak berjumpa orang ramai.

“Walaupun lebih ramai yang sudah kembali bekerja, mereka bimbang untuk makan di luar dan cenderung masak di rumah serta membawa makanan sendiri apabila berada di luar. Jadi perniagaan di kedai runcit akan terus menjadi baik,” katanya.

Kedai runcit berdepan kekurangan bekalan pada awal PKP kerana masalah logistik dan rantaian bekalan tetapi sudah kembali normal selain harga kekal stabil.

Hong berkata walaupun kedai runcit adalah perniagaan kecil-kecilan, sentuhan peribadi pemilik kedai, lokasi yang selesa dan kepantasan dalam menyelesaikan pembelian merupakan nilai tambah bagi pembeli.

“Anda mungkin akan berjalan-jalan selepas pergi ke pasar raya tetapi di kedai runcit anda akan segera pulang selepas membeli barang yang diperlukan. Itu mengurangkan potensi pendedahan kepada Covid-19,” katanya.

Hong berkata beberapa peniaga runcit juga menyesuaikan diri dengan perintah pengurungan separa dengan pendekatan baharu untuk melayan pelanggan.

“Beberapa peniaga yang beroperasi di kawasan perumahan atau pangsapuri telah membuat kumpulan WhatsApp di mana mereka menerima pesanan untuk pembelian.

“Mereka bahkan mengambil gambar untuk pelanggan bagi memastikan barang yang dipilih adalah betul dan menghantar barangan secara langsung ke depan pintu pelanggan pada siang atau malam. Perkhidmatan seperti itu mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan,” katanya.

Hong berkata pelbagai kedai runcit yang bertahan selama beberapa dekad kini menunjukkan mampu bertahan di tengah wabak dan kemungkinan akan terus bertahan walaupun bersaing dengan pasar raya besar.

Katanya persatuan itu mendorong pemilik kedai runcit meningkatkan penggunaan digitalisasi mereka dan membuat penyesuaian pada ruang kedai untuk memenuhi keselamatan pelanggan yang masih suka berbelanja sendiri.

Malaysia mencatatkan 7,970 jangkitan Covid-19 sehinga semalam dengan jumlah kematian seramai 115 orang.

Sebilangan besar kes baharu sejak kebelakangan ini adalah di antara populasi pekerja asing. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen