PERGERAKAN Anti Arak Murah Malaysia mencadangkan kerajaan supaya menetapkan harga siling, supaya minuman keras tidak dijual pada harga di bawah RM50 di pasaran.
Ketuanya David Marshel berkata, buat masa ini masih terdapat minuman keras keluaran syarikat pemprosesan tempatan, yang dijual pada harga serendah antara RM5 dan RM6 sebotol 125ml dengan 40% kandungan alkohol, di pasaran.
“Kami ingin memohon kerajaan supaya tidak membenarkan penjualan arak di bawah kuantiti 700ml bagi semua jenis minuman keras. Botol kecil harus diharamkan sama sekali, supaya dapat mengawal harga sekali gus arak murah, tidak wujud sama sekali.
“Kami juga memohon kerajaan supaya batalkan semua jenis lesen arak runcit di bawah Akta Eksais 1976 dan wujudkan lesen khas, yang hanya benarkan arak dijual dalam premis yang dilesenkan. Kerajaan harus batalkan semua lesen arak runcit yang dikeluarkan sebelum ini, dan tidak benarkan penjualan arak di kedai-kedai runcit termasuk 7eleven, 99mart dan lain-lain rangkaian peruncitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya membatalkan lesen arak jenis runcit, untuk mengawal belia daripada terjebak dalam pengambilan arak, selain mengkaji semula waktu operasi penjualan minuman keras itu.
Menurutnya, waktu operasi penjualan minuman keras secara runcit seawal pukul 7 pagi hingga 9 malam perlu diubah dan ditetapkan pada 10 pagi hingga 8 malam, bagi lesen khas arak yang dicadangkan.
Selain itu David berkata, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk menggazetkan tempat awam seperti taman perumahan, taman permainan, dan taman rekreasi, sebagai tempat larangan meminum arak bagi menjamin keselamatan awam.
“Sudah tiba masanya kerajaan mengambil satu pendekatan holistik, untuk mengawal dan menggubal peraturan bagi mengetatkan lagi undang-undang bagi pemandu mabuk ini. Kami dari Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, sedia membantu kerajaan jika ingin maklumat atau cadangan secara terperinci berkenaan pengawalan penjualan arak dan kawal selia lesen arak, demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” tambahnya. – Bernama, 3 Jun, 2020.
Komen