Depot Imigresen Bukit Jalil lapor 55 kes baharu Covid-19


Noel Achariam

Dengan kes di pusat tahanan lain di Sepang, Semenyih dan Putrajaya, jumlah kes kluster imigresen kini adalah 466 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

LEBIH banyak kes Covid-19 direkodkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, dengan 55 kes baharu dilaporkan hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes yang dikesan di pusat tahanan imigresen itu kini naik kepada 338 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dengan kes di pusat tahanan lain di Sepang, Semenyih dan Putrajaya, jumlah kes kluster imigresen kini adalah 466 kes.

“Terdapat 338 kes di Bukit Jalil, 66 di Semenyih, 60 di Sepang dan dua di Putrajaya,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

55 kes baharu itu adalah sebahagian daripada 93 kes baharu dilaporkan hari ini.

36 kes baharu hari ini juga berkaitan dengan kluster Pedas di Negeri Sembilan, membawa kepada jumlah keseluruhan kes kluster itu sebanyak 256.

Kluster Pedas melibatkan 14 warga Malaysia dan 242 warga asing yang sah positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini 41,317 warga asing sudah disaring dan 2,018 disahkan positif Covid-19.

Warga India, Bangladesh dan Indonesia adalah golongan teramai dijangkiti di depot imigresen.

Menurut Dr Noor Hisham, seramai 123 orang warga India disahkan positif, Bangladesh (108), Indonesia (76), Myanmar (66), Pakistan (45) dan China (18).

Beliau turut menasihati majikan supaya memastikan pekerja mereka mematuhi garis panduan kesihatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Kita banyak kali tekankan, yang terdapat beberapa faktor menyumbang kepada penyebaran virus dalam kalangan pekerja seperti penginapan, isu kebersihan dan persekitaran tempat kerja dan tinggal mereka.

“Jangkitan dalam pekerja asing perlu ditangani secara mendesak. Kami menggesa majikan memainkan peranan lebih besar dalam menanganinya.” – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen