Saya mahu bersara tetapi ramai mahu saya kembali bekerja, kata Dr M


Alfian Z.M. Tahir

DR Mahathir Mohamad hari ini mendedahkan bahawa beliau sebenarnya ingin berehat selepas bersara dari politik pada 2003 tetapi menerima banyak permintaan untuk kembali bekerja.

Bercakap pada wawancara langsng yang dihoskan oleh Creative Cloud Community (CCC) Dr Mahathir berkata selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri pada usia 77 tahun beliau terus menjalani gaya hidup sihat.

“Orang ramai datang jumpa saya dan beritahu untuk lakukan itu ini ketika saya ingin berehat.

“Saya menjalani cara hidup aktif dan saya selalu beritahu orang untuk terus aktif. Saya berusia 94 tahun dan saya fikir hanya sampai umur 75 tahun saja,” katanya.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003 sebelum meletak jawatan.

Beliau tidak pernah jauh dari politik tetapi kembali aktif pada 2017 untuk bekerjasama dengan pembangkang Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau memimpin PH apabila menang pada pilihan raya 2018 mengalahkan Barisan Nasional dan sekali lagi menjadi perdana menteri pada Mei 2018 sehingga mengundurkan diri pada Februari 2020.

Dr Mahathir masih berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin bagi mengembalikan kuasa PH.

Dalam hal lain ketika ditanya bagaimana beliau menangani penyalahgunaan dalam talian katanya seseorang harus selalu memilih untuk melakukan yang baik dari yang buruk.

“Pisau boleh digunakan untuk memotong dan juga dapat digunakan untuk membunuh. Pisau itu bukan masalah tetapi orang yang menggunakannya menimbulkan masalah.

“Saya diajar untuk melakukan perkara yang baik oleh ibu saya dan saya ingat dia menyuruh untuk tidak mengambil perkara yang bukan milik kita. Apabila kita ada nilai yang baik, kita boleh menolak dari melakukan perkara jahat,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi juga menasihatkan usahawan muda untuk belajar sebanyak yang boleh semasa pandemik Covid-19 ini mengenai bagaimana mengembangkan idea baharu agar dapat bersaing dengan perniagaan lain di bawah norma baharu.

“Saya rasa usahawan muda mesti belajar sebanyak yang boleh semasa wabak ini. Anda mungkin tidak mendapat peluang ini ketika keadaan kembali normal.

“Anda memerlukan idea baharu dan pengetahuan baharu, jadi jangan berhenti, berfikir dan kreatif. Belajar untuk berubah,” katanya.  – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen