Ujian Covid-19 hanya wajib jika ada kes dalam produksi, kata menteri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ismail Sabri bagaimanapun menjelaskan, sekiranya syarikat produksi ingin membuat saringan secara sukarela, tindakan itu dialu-alukan walaupun kerajaan tidak mewajibkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

UJIAN saringan wajib Covid-19 ke atas pelakon dan kru produksi hanya akan dibuat sekiranya wujud kes jangkitan dalam kalangan mereka, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sekiranya syarikat produksi ingin membuat saringan secara sukarela, tindakan itu dialu-alukan walaupun kerajaan tidak mewajibkannya.

“Seperti kita sebut, ujian saringan ini dilakukan apabila terdapat kes Covid-19. Sebagai contoh di penjara, apabila kita kesan berlaku positif jangkitan, saringan terpaksa dilakukan ke atas semua 600 penghuni.

“Jadi apabila ada kes (positif Covid-19) ketika pengambaran dilakukan, ujian wajib dilakukan kerana kita tidak mahu kluster pengambaran pula timbul,” katanya pada sidang media di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Selain itu, setiap syarikat produksi pengambaran perlu melantik seorang penyelia keselamatan untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) di lokasi, tambahnya. 

Mengenai proses dandanan dan solekan, Ismail Sabri berkata, setiap jurumekap atau jurudandan perlu memakai pelindung muka dan sarung tangan untuk memulakan tugas.

“Malah peralatan juga tidak dibenarkan dikongsi, iaitu setiap alat yang digunakan adalah khusus untuk seorang artis sahaja,” katanya.

Pada 20 Mei lalu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula selepas Aidilfitri dengan mematuhi SOP ketat.

Antara SOP ditetapkan termasuklah penggambaran tidak boleh membabitkan babak yang menyaksikan berlakunya sentuhan fizikal antara pelakon kerana ia melanggar pematuhan penjarakan sosial. – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen